Had umur belia 30 tahun, implikasi kepada generasi muda

Iklan
Gambar hiasan.

MULAI 1 Januari 2026, Kerajaan Persekutuan tetap dengan pendirian untuk menurunkan had umur belia kepada 30 tahun selaras pindaan yang diluluskan Parlimen pada 2019.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, bagaimanapun Sarawak tidak terikat dengan perubahan itu kerana badan belia utamanya, Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan bukan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY).

Iklan
Iklan

Persoalannya, apakah kesan sebenar perubahan itu kepada landskap kepimpinan belia, pembentukan dasar negara serta peluang pembangunan generasi muda?

Di atas kertas, pindaan tersebut bertujuan memastikan pertubuhan belia benar-benar dikendalikan oleh anak muda, memberi peluang lebih besar kepada mereka yang masih di ambang kehidupan dewasa untuk memimpin.

Iklan

Namun, ia juga bakal menggoncang struktur sedia ada kerana ramai pemimpin berusia 31 hingga 40 tahun yang selama ini memegang jawatan utama dalam persatuan terpaksa melepaskan kedudukan mereka.

Bagi sesetengah pihak, ia menimbulkan kebimbangan tentang kesinambungan kepimpinan.

Iklan

Generasi 30-an yang biasanya sudah berpengalaman dan memiliki rangkaian luas akan dipinggirkan sekali gus menuntut peranan baharu mereka dalam sektor masyarakat atau politik.

Dari sudut ekonomi, langkah ini juga mempengaruhi peruntukan dana kerajaan kepada program pembangunan belia.

Golongan 30-an yang sebelum ini menikmati akses kepada skim latihan, pembiayaan atau peluang keusahawanan khusus mungkin tidak lagi dikategorikan sebagai sasaran utama.

Ini boleh memberi kesan kepada perancangan kerjaya dan sokongan keusahawanan, terutama kepada usahawan muda yang baru menapak.

Sementara itu, golongan belia berumur 15 hingga 30 tahun kini akan menjadi fokus tunggal.

Ia memberi peluang kepada kerajaan untuk menyalurkan program dengan lebih tersasar tetapi juga menuntut pendekatan lebih kreatif untuk memenuhi keperluan mereka, khususnya dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar dan kadar pengangguran belia yang masih membimbangkan.

Perubahan ini bukan perkara kecil. Ia memerlukan penyesuaian menyeluruh termasuk kepada pertubuhan belia yang selama ini bergantung kepada kepimpinan berusia 30-an.

Ada yang melihat langkah ini sebagai peluang untuk menyuntik ‘darah baharu’, manakala ada yang berpendapat ia boleh melemahkan keberkesanan gerakan belia kerana hilangnya tokoh berpengalaman.

Kunci kejayaan terletak pada peranan kerajaan dalam mengimbangi keperluan dua kelompok belia di bawah 30 tahun dan mereka yang melepasi had umur tetapi masih aktif menyumbang kepada masyarakat.

Tanpa perancangan rapi, risiko kehilangan tenaga dan idea daripada kumpulan 30-an adalah nyata.

Langkah menurunkan had umur belia kepada 30 tahun membawa mesej jelas bahawa Malaysia mahu belia yang lebih muda benar-benar diberi ruang memimpin.

Namun, dalam semangat ‘memudakan’ kepimpinan, jangan sampai kelompok 30-an yang masih dinamik dan berpotensi besar terpinggir daripada proses pembangunan negara.

Seperti biasa, yang menentukan kejayaan bukan sekadar garis umur, tetapi bagaimana dasar, dana dan sokongan mampu disesuaikan agar semua generasi muda dapat memainkan peranan mereka tanpa ada yang terbuang di tengah jalan.