SHAH ALAM - Dua kanak-kanak lelaki ditemukan lemas dipercayai terjatuh ke dalam sebuah parit berhampiran Jalan Cili Merah 24/26, Seksyen 24 di sini pada Jumaat.
Mangsa dikenali sebagai Che Syazwan Irwan Shah, 12, dan Arshidayan Arijanto, 9, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut pada jam 7.19 malam.
"Seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba di lokasi, komander operasi memaklumkan terdapat dua mangsa kanak-kanak lelaki yang dipercayai terjatuh ke dalam parit," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya, kedua-dua mangsa berjaya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.
"Petugas perubatan KKM kemudian mengesahkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis tindakan lanjut," katanya.