TAIPING - Sebanyak 605 kampit minyak masak peket dirampas dalam serbuan Op Tiris di sebuah premis di Industri Kamunting Aman, Jalan Kamunting Lama di sini pada Khamis.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, premis milik seorang wanita warga tempatan berusia 36 tahun itu didapati memiliki minyak masak satu kilogram (kg) melebihi had lesen yang dibenarkan oleh Pengawal.
"Kesemua minyak masak berkenaan ditemui dalam empat tong ais dan bakul yang disimpan di ruang belakang premis yang dijadikan dapur memasak.
"Minyak masak tersebut disyaki digunakan sebagai bahan memasak makanan dan menjual buat pekerja warga asing. Aktiviti itu dikendalikan sendiri oleh warga asing terlibat," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Menurut Kamalludin, kesemua 605kg minyak masak dianggarkan bernilai RM1,512.50 itu telah disita.
"Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana memiliki barang kawalan melebihi had yang dinyatakan dalam lesen.
"Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya," katanya.