Pemuda PH gesa Presiden Trump pertimbang semula pencalonan Duta AS

Iklan
Mohammad Izuan (tengah) mewakili AMK menghantar memorandum bantahan ke Kedutaan Amerika Syarikat pada Jumaat. Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR – Pemuda Pakatan Harapan (PH) menyerahkan satu memorandum bantahan kepada Kedutaan Amerika Syarikat bagi menyuarakan penolakan terhadap pencalonan Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Izuan Mohd Kasim berkata, himpunan yang berlangsung di luar perkarangan kedutaan itu bertujuan menghantar isyarat jelas kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bahawa Nick Adams bukan individu sesuai untuk mewakili negaranya di Malaysia.

Iklan
Iklan

"Hari ini kita semua berkumpul atas satu tujuan. Kita membantah pencalonan manusia bernama Nick Adams sebagai duta ke Malaysia,” tegasnya dalam ucapan kepada peserta perhimpunan berhampiran Kedutaan Amerika di Jalan Tun Razak di sini pada Jumaat.

Turut hadir, wakil Pemuda Parti Amanah Nasional (Amanah), DAP, IKRAM Muda, Pemuda Pertubuhan Demokrat Sosial, Young Diplomats of Malaysia, Malaysian Consultative Council of Islamic Organization dan Liga Pemuda Malaysia serta beberapa lagi pertubuhan.

Iklan

Menurut beliau, rakyat Malaysia terdiri daripada masyarakat berbilang kaum yang menolak keras sebarang unsur ekstremisme serta menyokong keamanan, kelembutan dan keharmonian sejajar dengan nilai budaya serta agama Islam sebagai agama rasmi negara.

Sebahagian peserta himpunan yang hadir dalam perhimpunan berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat pada Jumaat. Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

Iklan

“Malaysia ini mempunyai rakyat yang berfikiran matang dan beradab. Kita juga menghormati wanita dan mementingkan toleransi antara agama dan bangsa,” ujarnya.

Tambah beliau, AMK menolak pencalonan Nick Adams yang dikenal pasti sebagai penyokong Zionis dan individu yang pernah mengeluarkan kenyataan menghina serta meremehkan nilai-nilai kemanusiaan yang dipegang oleh rakyat Malaysia.

“Kita tak nak penyokong Zionis dihantar ke Malaysia. Kita sudah lama bersama Palestin, dari dulu lagi. Nick Adams bukan orang yang layak menjadi jambatan hubungan diplomatik antara dua negara,” ujarnya lagi.

Beliau juga menggesa kerajaan Amerika Syarikat untuk menimbang calon lain yang lebih sederhana dan menghormati prinsip-prinsip sejagat dalam hubungan antarabangsa.

“Kita nak orang yang moderate dihantar ke Malaysia. Supaya negara ini kekal berdaulat dan dihormati. Hantarlah Nick Adams ke negara lain, bukan ke sini,” ujarnya.

Tegasnya, AMK berpegang kepada pendirian bahawa hubungan Malaysia-Amerika Syarikat akan terjejas sekiranya pencalonan itu diteruskan.

“Kalaulah Nick Adams datang ke Malaysia, kita sebulat suara menolak dan akan terus menolak,” katanya yang turut merakamkan penghargaan kepada pihak polis atas kawalan keselamatan yang diberikan sepanjang protes berlangsung.

Beliau memaklumkan wakil daripada Kedutaan Amerika Syarikat menerima memorandum yang diserahkan dan memberi jaminan bahawa mesej tersebut akan disampaikan kepada Presiden Trump.