BERA - Perjalanan pulang seorang pembantu penguat kuasa SWCorp melawat ayah yang sakit bertukar tragedi apabila maut tercampak keluar selepas kereta dipandunya bertembung dengan lori di Kilometer (KM)64 Jalan Temerloh-Melati di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, mangsa, Jeffry Juhari Jemadi, 40, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, kereta jenis Perodua Ativa yang dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Temerloh menghala ke Melati.
"Apabila sampai di tempat kejadian kereta itu telah hilang kawalan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori yang sedang dalam perjalanan dari arah bertentangan.
"Akibat kemalangan tersebut, mangsa telah tercampak keluar dan ditindih kereta serta meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.
Ujarnya, pemandu lori berusia 41 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jelasnya, bedah siasat dijalankan di Hospital Bera.
Katanya, siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.