PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pelantikan Ketua Hakim Negara dan beberapa hakim kanan yang lain membuktikan proses tersebut dilaksanakan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, pelantikan itu juga menolak segala dakwaan dan fitnah yang dilemparkan terhadap kerajaan serta dirinya sebelum ini.
“Jadi saya harap dengan penjelasan ini serta keputusan Majlis Raja-Raja yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, maka terpadamlah fitnah serta keluh kesah yang berlaku sebelum ini.
“Berminggu-minggu dihujahkan, dikecam dan difitnah, tetapi kini terbukti kenyataan itu meleset,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat di Surau Al-Istiqlal, Presint 14 di sini pada Jumaat.
Anwar turut menafikan dakwaan bahawa nama bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh pernah diusulkan sebagai calon Ketua Hakim Negara.
“Beliau banyak menjalankan tugas dengan cemerlang dan kini merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan.
“Tetapi kerana beliau masih mempunyai banyak tahun (untuk berkhidmat), nama Ahmad Terrirudin tidak pernah pun diusulkan.
“Tuanku Sultan Selangor, selaku Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja bertanya mengenainya dan saya maklumkan bahawa nama itu tidak dibawa oleh saya, tidak dibincang dan tidak dikemukakan oleh Yang di-Pertuan Agong. Jadi dari mana datangnya spekulasi ini? Ia hanya disebarkan oleh kalangan tokoh-tokoh peguam yang berpolitik,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar menggesa supaya budaya menyebar fitnah dan mencerca tanpa merujuk fakta yang sahih dihentikan.
“Keputusan ini mengambil kira bahawa institusi kehakiman merupakan salah satu tonggak negara yang berdaulat dan merdeka serta teras kepada prinsip demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh atas pelantikan sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu, selain Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak.
Istiadat pelantikan dan angkat sumpah jawatan akan berlangsung pada 28 Julai ini di Istana Negara di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Dalam pada itu, Anwar menjawab kritikan berhubung dakwaan kelewatan pelantikan hakim lain dan memaklumkan bahawa proses pelantikan telah pun berjalan.
“Pelantikan telah dibuat dengan lapan hakim Mahkamah Rayuan kini berada dalam senarai.
“Sebanyak 14 hakim Mahkamah Rayuan diangkat daripada Mahkamah Tinggi dan 14 hakim Mahkamah Tinggi telah pun diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Kalau ada sedikit kesabaran dan kebijaksanaan serta tidak terlalu bermusuhan secara politik, jika ditanya saya sudah jawab sejak dua hari lalu,” katanya.