PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kelajuan bas melebihi dua kali ganda had laju yang ditetapkan merupakan antara punca kemalangan meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak pada 9 Jun lepas.
Perkara itu didedahkan dalam Laporan Awal Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan oleh Pasukan Petugas Khas yang dimuat naik menerusi laman sesawang Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT).
Menurut laporan setebal 179 muka surat itu, had laju di lokasi kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak itu adalah hanya 60 km/j seperti yang dipaparkan pada papan tanda rasmi yang terletak kira-kira 3.3 kilometer sebelum lokasi nahas.
Kelajuan paling berkemungkinan semasa kejadian adalah 117.6 km/j dan kelajuan ini melebihi kelajuan kritikal untuk terbalik iaitu sekitar 111.3–114.5 km/j yang telah ditentukan melalui analisis teknikal.
Punca utama kejadian dikenal pasti sebagai kegagalan mengawal kelajuan ketika melalui selekoh di laluan menuruni bukit, menyebabkan bas hilang kawalan dan terbalik ke arah kiri jalan.
Analisis trajektori, rekonstruksi pergerakan sebelum kejadian dan penilaian terhadap kelajuan kritikal selekoh menunjukkan bahawa bas telah dipandu pada kelajuan yang melebihi had selamat untuk laluan tersebut.
Kenderaan terbalik ke sisi kiri sebelum bergesel dan menghentam penghadang jalan jenis W-beam, yang kemudiannya menembusi ke dalam ruang kabin dan menyebabkan kecederaan parah serta kematian dalam kalangan penumpang.
Walaupun pemandu mendakwa berlaku kegagalan sistem brek, siasatan setakat ini belum mengesahkan sebarang kerosakan teknikal.
Pemeriksaan awal mengenal pasti tanda-tanda kemungkinan pemanasan melampau pada komponen brek namun keadaan ini juga boleh berpunca daripada penggunaan brek yang berlebihan atau tidak sesuai.
"Penilaian terperinci masih dijalankan dan akan dilaporkan dalam Laporan Akhir," katanya.
Mengulas lanjut, beberapa faktor penyumbang yang saling berkait dikenalpasti telah meningkatkan risiko kejadian serta tahap keparahan akibatnya.
Faktor-faktor ini mencerminkan kelemahan sistemik merentas aspek reka bentuk jalan, spesifikasi kenderaan, pematuhan industri dan keberkesanan pengawasan.
Reka bentuk penghadang jalan jenis W-beam dengan tahap ujian TL-2 tidak sesuai untuk menahan impak daripada kenderaan berat seperti bas persiaran.
Penemuan menunjukkan penghadang jalan telah menembusi kabin bas, menyebabkan kegagalan struktur dan kecederaan maut kepada penumpang.
Tambahan pula, terdapat bukti kegagalan pemasangan seperti skru tercabut, terminal tidak flare, dan kemungkinan misalignment, yang mengurangkan keberkesanan fungsi penghadang.
"Keadaan ini menunjukkan keperluan mendesak untuk menilai semula penggunaan sistem penghadang sedia ada di laluan berisiko tinggi dan mempertimbangkan penaikan taraf kepada sistem TL-3 atau lebih tinggi, termasuk sistem alternatif seperti 'rolling barrier system' yang boleh menyerap impak dan mengurangkan risiko penembusan.
Selain itu, kecacatan visual pada jalan turut menjejaskan kemandirian dengan meningkatkan risiko kemalangan. Antaranya reflektor dan 'delineator' tidak kelihatan atau kotor, papan tanda tidak retro-reflektif, garisan tengah jalan pudar atau tiada.
"Kekurangan ini mengurangkan keupayaan pemandu untuk mengesan bentuk jalan dan menilai risiko selekoh terutamanya pada waktu malam, seperti dalam kejadian ini," demikian menurut laporan itu.
"Siasatan mendedahkan amalan pengendalian yang tidak sah dan ketidakpatuhan serius terhadap peraturan pelesenan dan keselamatan,
termasuk pemajakan lesen tanpa kebenaran serta manipulasi dalam permohonan dokumen pengawalseliaan," jelas laporan itu.
Penemuan tersebut mencerminkan kelemahan struktur dalam tadbir urus industri pengangkutan pelancong, dengan tahap pematuhan yang rendah dan pengawasan yang tidak mencukupi.
Ia turut menunjukkan bahawa amalan seumpama ini mungkin berlaku secara lebih meluas sekiranya tidak ditangani dengan pembaharuan kawal selia yang menyeluruh.
Setakat ini, tiada bukti bahawa pemandu memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
"Walau bagaimanapun, keputusan rasmi ujian toksikologi masih belum diterima pada masa laporan ini disediakan," katanya.
Siasatan turut mengenal pasti bahawa kedua-dua pemandu yang terlibat mempunyai rekod kesalahan lalu lintas yang tinggi termasuk saman yang belum dijelaskan iaitu 18 saman bagi pemandu pertama dan lebih 20 saman gabungan bagi pemandu kedua.
"Kegagalan menyaring dan memantau disiplin pemandu secara berkala, seperti yang diwajibkan di bawah ICOP Keselamatan, menunjukkan kelonggaran sistemik dalam pengurusan risiko oleh pihak pengendali.
"Amalan ini meletakkan penumpang dan pengguna jalan raya dalam risiko yang tinggi dan mencerminkan kegagalan serius dalam pengurusan sumber manusia serta pematuhan dalaman," katanya.
Petugas Khas menjelaskan dalam laporan itu bahawa kejadian berkenaan bukan sahaja berpunca daripada kegagalan teknikal atau kesilapan pemanduan, tetapi turut didorong oleh kelemahan dalam struktur operasi, pemilihan pemandu yang tidak sesuai, kekurangan perlindungan keselamatan serta ketidakefektifan sistem pemantauan dan penguatkuasaan.
"Kesemua faktor ini mencerminkan satu kegagalan sistemik yang memerlukan pembaharuan menyeluruh oleh semua pihak yang terlibat dalam ekosistem pengangkutan awam.
Siasatan lanjut masih diteruskan dan sebarang penemuan tambahan akan diperincikan dalam Laporan Akhir," katanya.