SOALAN:
Bolehkah saya meminjam duit daripada orang lain untuk menunaikan ibadah umrah?
JAWAPAN:
TERDAPAT perbezaan penekanan pandangan dalam kalangan ulama berkaitan hukum meminjam wang untuk menunaikan ibadah umrah. Namun begitu, secara umumnya mereka bersetuju dalam empat perkara asas iaitu:
1. Meminjam untuk menunaikan umrah pada dasarnya dibolehkan.
2. Peminjam mesti memenuhi syarat kemampuan kewangan yang ketat.
3. Keutamaan perlu diberikan kepada tanggungjawab utama seperti nafkah keluarga sebelum ibadah sunat.
4. Transaksi pinjaman mestilah bebas daripada unsur yang bercanggah dengan syariat seperti riba dan gharar (ketidakpastian).
Kegagalan mematuhi prinsip-prinsip itu boleh menjadikan amalan tersebut bertentangan dengan Maqasid Syariah khususnya dalam aspek pemeliharaan keturunan dan harta.
Namun begitu, perlu dipertimbangkan bahawa umrah (selain umrah kali pertama) merupakan ibadah sunat, bukan kewajipan seperti haji bagi yang berkemampuan.
Jika pinjaman itu menimbulkan bebanan kewangan yang berat, lebih utama untuk menundanya sehingga memiliki kemampuan, selaras dengan prinsip kesederhanaan dan larangan terhadap hutang yang tidak perlu.
*Jawapan disediakan oleh Ustaz Muhamad Azlan Md Aris, Penolong Pendaftar Kanan, Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Mara Cawangan Pahang, Kampus Jengka