SHAH ALAM - Warga guru yang berdepan kesukaran menebus Baucar Buku Guru Madani kini boleh menarik nafas lega apabila Karangkraf mengambil inisiatif turun padang ke sekolah bagi membantu memudahkan proses pembelian secara dalam talian.
Baucar bernilai RM100 itu merupakan inisiatif yang dilaksanakan bermula 1 Julai lalu sehingga 30 September, khusus buat golongan guru mempunyai akaun Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Pengurus Karangkraf Mall Sdn Bhd, Muhammad Hafizul Mukmin Adnan berkata, antara kekangan sering dihadapi guru termasuk baucar tidak muncul walaupun barang telah dimasukkan ke dalam troli pembelian dan caj penghantaran terlalu tinggi kerana terdapat banyak pembekal.
“Selain itu, terdapat kebimbangan buku tidak sampai serta kekeliruan dalam memilih buku yang sesuai.
“Ramai guru tidak pasti hendak beli buku apa, malah ada juga yang menyuarakan kerisauan kerana kurang mahir dengan urusan pembelian dalam talian.
“Jadi kita bantu dari awal hingga akhir, termasuk bawa buku fizikal ke sekolah supaya mereka boleh lihat dulu sebelum membuat keputusan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Ujar Muhammad Hafizul, lebih 500 buah buku turut dibawa untuk Program Penebusan Baucar Guru Madani 2025 itu merangkumi pelbagai kategori termasuk motivasi Islamik, sirah Rasulullah SAW, novel remaja dan seram serta buku pendidikan awal kanak-kanak.
Menurutnya, antara syarat penting untuk membolehkan Baucar Buku Guru Madani itu digunakan ialah setiap guru perlu menebus sekurang-kurangnya satu naskhah buku daripada senarai judul khas yang ditetapkan.
“Kami bawa hampir 50 judul khas yang layak ditebus menggunakan baucar ini. Jika tiada sebarang judul khas dalam pembelian, sistem tidak membenarkan baucar digunakan.
“Judul khas yang disenaraikan itu antaranya termasuk buku popular di media sosial seperti Alfu Sanatin 1 dan 2,” ujarnya.
Tambah Muhammad Hafizul, pihaknya turut mengalu-alukan kerjasama sekolah lain yang berminat untuk menjemput Karangkraf hadir ke lokasi masing-masing bagi membantu proses penebusan secara fizikal.
“Setakat ini, kami menerima jemputan daripada beberapa buah sekolah antaranya Sekolah Agama Menengah Tengku Ampuan Jemaah, Sungai Besar yang berlangsung pada Khamis.
“Selain itu, Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Idaman, Pelabuhan Klang.
“Sekolah lain yang berminat boleh hubungi kami di nombor 019-2297227 (Nursyamimy) untuk menempah slot kunjungan. Jadual lawatan kami masih terbuka dan kami sedia menambah pasukan jika permintaan meningkat,” ujarnya.