Mentua tuntut rumah, halau menantu dan cucu keluar

Iklan
Rastiah (kanan) bersama dua anaknya, Heryatno berbaju merah dan Zaki (kiri), serta peguam mereka, Yopi (tengah) hadir di Mahkamah Negeri Indramayu bagi prosiding kes perebutan rumah yang difailkan datuk terhadap cucu. Foto TRIBUN JABAR/HANDHIKA RAHMAN

INDRAMAYU – Sepasang suami isteri warga emas bertindak mengusir menantu dan dua orang cucu mereka dari sebuah rumah di Desa Karangsong di sini yang menjadi pertikaian dalam kes perebutan hak milik harta keluarga.

Pasangan berkenaan, Kadi dan Narti, mendakwa rumah tersebut merupakan milik mutlak mereka dan kini dituntut semula selepas didiami oleh menantu mereka, Rastiah, 37, serta dua cucu, Heryatno, 20, dan Zaki, 12.

Iklan
Iklan

Dalam prosiding yang berlangsung di Mahkamah Pengadilan Negeri (PN) Indramayu pada Rabu, Narti menegaskan bahawa tindakan mereka bukan bermaksud mengusir cucu, sebaliknya hanya mahu menantu mereka keluar dari rumah tersebut.

“Saya tak halau cucu saya, saya cuma mahu menantu saya keluar.

Iklan

"Dia bukan anak saya, bukan saudara saya, dia orang luar,” katanya kepada TribunCirebon.com.

Pasangan itu turut menunjukkan sijil hak milik tanah sebagai bukti sah pemilikan, yang menyatakan bahawa rumah berkenaan dibeli secara tunai dengan harga 50 juta rupiah (sekitar RM13,030).

Iklan

Menurut mereka, rumah tersebut merupakan satu-satunya aset yang dimiliki, manakala mereka sendiri kini tinggal di kawasan tebing sungai yang berisiko untuk dirobohkan oleh pihak berkuasa.

Dalam prosiding tersebut, keputusan turut dibuat untuk mengusir cucu sulung, Heryatno, memandangkan beliau telah dewasa dan sudah berkahwin.

Bagaimanapun, pasangan warga emas itu menyatakan hasrat untuk terus menjaga cucu bongsu mereka, Zaki, 12 tahun, yang dikatakan sangat rapat dan telah diasuh sejak kecil.

“Zaki memang sejak kecil dijaga oleh kami. Dia sangat rapat dengan kami,” ujar Narti.

Wakil keluarga, Uci Sanusi, 51, menjelaskan bahawa punca utama pertikaian ini adalah kerana Rastiah masih menetap di atas tanah milik mentuanya, walaupun hubungan kekeluargaan secara rasmi telah terputus selepas suaminya, Suparto, meninggal dunia.

“Sekarang tanah satu-satunya milik mereka dikuasai oleh orang yang bukan sesiapa lagi. Sudah tentu mereka tak boleh terima,” katanya.

Kes ini mendapat perhatian meluas dalam kalangan masyarakat dan warganet selepas tular isu"datuk saman cucu", yang mengundang pelbagai reaksi – ada yang bersimpati dengan nasib cucu, dan ada pula yang menyokong tindakan datuk dan nenek atas dasar hak milik yang sah.