SEREMBAN - Dua kanak-kanak perempuan yang ditemui orang awam di tepi jalan di Seksyen 2, Garden Avenue di sini pada Khamis, bukannya sengaja ditinggalkan sebaliknya dipercayai keluar rumah sendiri tanpa pengetahuan ibu bapa mereka.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, siasatan mendapati dua beradik tersebut yang merupakan warganegara Myanmar keluar rumah ketika bapa mereka sedang tidur, manakala ibunya pergi bekerja.
"Polis yang menerima maklumat segera ke tempat kejadian dan telah membawa dua kanak-kanak terbabit ke Balai Polis Seremban 2 untuk tujuan perlindungan dan pengesahan identiti.
"Hasil pemeriksaan fizikal terhadap kanak-kanak itu mendapati tiada terdapat sebarang kecederaan atau pun sebarang tanda mencurigakan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, kanak-kanak tersebut telah pun diserahkan semula kepada ibu bapa mereka.
Justeru itu, beliau menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memastikan pintu rumah dikunci serta anak-anak kecil tidak ditinggalkan tanpa pengawasan.
"Polis turut berterima kasih kepada orang awam yang prihatin dan pantas melaporkan insiden tersebut.
"Orang ramai juga diminta tidak membuat sebarang spekulasi kerana kes telah selesai," katanya.