Pemuda PH ajak Pemuda UMNO-BN sertai demo bantah Nick Adams sebagai duta AS ke Malaysia

Iklan
Danish Hairudin.

KUALA LUMPUR - Pemuda Pakatan Harapan (PH) menjemput Pemuda UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyertai demonstrasi membantah pencalonan Nick Adams sebagai duta baharu Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, di hadapan Kedutaan AS pada Jumaat.

Ketua Penerangan Pemuda PKR (AMK), Danish Hairudin berkata, bantahan tersebut bertujuan mendesak agar pencalonan Adams ditarik semula dan digantikan dengan individu yang lebih sesuai.

Iklan
Iklan

Beliau mendakwa, Adams merupakan individu yang sering membuat kenyataan yang provokatif serta tidak selari dengan norma masyarakat majmuk di Malaysia.

"Himpunan esok (Jumaat) bertujuan menggesa agar kerajaan AS menarik balik pencalonan Adams dan menamakan calon yang lebih profesional, sederhana, dan memahami kepentingan kestabilan rantau Asia Tenggara, bukannya individu kontroversi.

Iklan

"Dia telah mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti Islam, menyokong secara terbuka rejim Zionis, serta mengutarakan pandangan yang merendahkan martabat wanita.

"Ini amat tidak wajar bagi seseorang yang akan mewakili AS ke Malaysia,” dakwanya dalam sidang media di sini pada Khamis.

Iklan

Sebelum ini, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyatakan bantahan sama dengan menegaskan bahawa Malaysia mempunyai kuasa penuh untuk menolak pelantikan Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke negara ini.

Menurut bekas Ketua Pemuda UMNO itu, tindakan berkenaan selaras dengan Artikel 4 Konvensyen Vienna yang memperuntukkan hak kepada negara penerima untuk tidak menerima calon duta tanpa perlu memberikan sebarang alasan rasmi.

Danish berkata, AMK bimbang sikap dan pandangan Adams bukan sahaja berisiko menjejaskan hubungan dua hala antara Malaysia dan AS, malah turut berpotensi mencetuskan ketegangan yang tidak perlu di peringkat serantau.

Dalam masa sama, menurut Danish, pihaknya akan mengadakan satu flash mob di hadapan McDonald’s Bukit Bintang malam Khamis sebelum himpunan kemuncak yang dijadualkan,

Perhimpunan bantahan akan diadakan pada jam 2 petang di hadapan Kedutaan AS di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur bakal menyaksikan penyerahan memorandum rasmi kepada pihak kedutaan.

Adams, 40, yang berketurunan Australia-Amerika, merupakan seorang pempengaruh media sosial, penulis dan individu yang menggelarkan dirinya sebagai 'Alpha Male'.

Nama beliau dicalonkan Trump untuk menggantikan Edgard Kagan, diplomat yang dilantik semasa era pentadbiran Joe Biden pada Mei 2023.

Namun, watak dan latar belakang Adams mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia apabila rekod lalu menunjukkan beliau pernah membuat kenyataan bersifat Islamofobia, menyokong Zionisme dan mempromosi gaya hidup berdasarkan stereotaip maskuliniti keterlaluan.