GETTYSBURG – Seorang penyiasat paranormal terkenal dari Amerika Syarikat dilaporkan meninggal dunia secara mengejut ketika membawa anak patung 'Annabelle' didakwa berhantu dalam siri jelajah rentas negeri hujung minggu lalu.
Mangsa, Dan Rivera, 54, yang juga veteran tentera dan ketua penyiasat di New England Society for Psychic Research (NESPR) ditemui tidak sedarkan diri di sebuah bilik hotel di Gettysburg, Pennsylvania pada malam Ahad.
Menurut laporan Evening Sun, panggilan kecemasan diterima sekitar jam 8 malam memaklumkan seorang lelaki sedang diberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR), dipercayai Rivera.
Punca kematian masih belum dikenal pasti dan bedah siasat sedang dijalankan, menurut pejabat Koroner Daerah Adams.
Rivera berada di bandar bersejarah itu sebagai sebahagian daripada program Devils on the Run Tour anjuran NESPR, yang mempersembahkan anak patung Raggedy Ann sebenar — sumber inspirasi patung seram Annabelle dalam filem The Conjuring — kepada orang ramai di beberapa lokasi terpilih.
Dalam sesi terakhirnya, Rivera berkongsi petua perlindungan spiritual daripada 'gangguan' Annabelle kepada para peserta.
“Apa yang selalu dinasihatkan oleh Lorraine Warren ialah... Tutup mata dan bayangkan diri anda diselubungi cahaya putih,” katanya, merujuk kepada pengasas bersama NESPR, mendiang Lorraine Warren, yang juga merupakan mentornya.
NESPR dalam satu kenyataan menyifatkan Rivera sebagai seorang tokoh yang berdedikasi dan bersemangat tinggi dalam mendidik orang ramai mengenai fenomena paranormal.
“Semangat, kreativiti dan kejujurannya akan terus kami kenang.
"Beliau percaya kerja ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu bentuk khidmat masyarakat,” kata organisasi itu.
NESPR turut memaklumkan bahawa semua acara jelajah yang telah dijadualkan akan diteruskan sebagai penghormatan kepada mendiang Rivera. – Agensi