Sentuh plastik makanan diragui ada daging khinzir, perlukah sertu tangan?

Iklan
KADANGKALA ada yang meminta bantuan kita untuk menghantar makanan kepada rakan atau jiran bukan Islam dan tidak diragui kandungan hidangan yang dibawa. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

ADAKALANYA kita diminta tolong untuk menghantar makanan kepada rakan sekerja atau jiran bukan Islam.

Tanpa berfikir panjang atau banyak soal, laju sahaja kita menghulur bantuan dengan hati terbuka.

Iklan
Iklan

Namun, tanpa disedari makanan yang dihantar itu mungkin mengandungi daging haiwan haram seperti khinzir. Mungkin juga hidangan itu disediakan di restoran yang turut menjual sajian berasaskan daging tersebut.

Lebih membimbangkan apabila bau hidangan itu melekat pada tangan walaupun hanya memegang plastik pembungkus makanan sahaja.

Iklan

Timbul pula keraguan sama ada perlu atau tidak untuk kita menyertu tangan tersebut?

INFOGRAFIK tentang keperluan sertu apabila menyentuh bungkusan plastik yang disyaki mengandungi makanan haram. -Foto: FACEBOOK JABATAN MUFTI NEGERI PULAU PINANG

Iklan

Secara asasnya, jelas jabatan mufti itu, anjing dan khinzir tergolong dalam kategori najis berat yang perlu dibersihkan mengikut cara yang ditetapkan oleh syarak.

Ia sebagaimana firman ALLAH SWT: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih) dan darah (yang keluar mengalir) dan daging babi (termasuk semuanya).” (Surah al-Maidah: 3)

“Menurut Dr Wahbah Az-Zuihaili dalam tafsirnya, pengharaman itu melibatkan keseluruhan anggota haiwan tersebut termasuklah lemak dan kulitnya.

“Jika melibatkan makanan yang telah bercampur dengan najis berat seperti anjing atau babi, maka ia dihukumkan sebagai najis berat dan sekiranya seseorang tersentuh hidangan tersebut, maka kawasan tersebut dihukumkan najis sehinggalah berlakunya proses sertu,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal Soal Jawab Agama Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dan infografik yang dikongsikan jabatan itu baru-baru ini.

Bagaimanapun, situasi berbeza jika hanya wujud keraguan terhadap kandungan makanan tersebut.

ANGGOTA badan yang hanya disyaki terkena najis mughallazah tidak perlu disertu, Sebaliknya, cukup sekadar membasuh tangan dengan air mutlak demi menghilangkan rasa ragu. -Foto: CANVA

Dalam keadaan itu, Jabatan Mufti Pulau Pinang menjelaskan, hukum najis berat tidak terpakai kerana berpegang kepada kaedah ‘Hukum tidak akan terbina ke atas perkara syak’.

“Sebaliknya, cukup sekadar membasuh tangan dengan air mutlak demi menghilangkan rasa ragu.

“Tidak perlu mengulangi sebarang ibadah yang telah dikerjakan kerana anggota tersebut adalah suci,” katanya.

Sementara itu, bagi mereka yang bekerja sebagai penghantar makanan, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang menasihatkan supaya memilih untuk menghantar makanan yang jelas halal.

Walaupun kita tidak menyediakan atau menjual makanan itu, namun terlibat dalam penghantaran makanan yang haram atau syubhah boleh menimbulkan keraguan terhadap keberkatan pendapatan yang diperoleh.

BAGI mereka yang bekerja sebagai penghantar makanan, dinasihatkan agar memilih untuk menghantar makanan yang jelas halal. -Foto: CANVA

“Oleh itu, kami menasihatkan supaya mencari pekerjaan lain atau memilih untuk menghantart makanan atau produk yang jelas tidak mengandungi unsur-unsur syubhah sebagaimana pilihan yang ditawarkan oleh aplikasi penghantaran makanan,” terangnya.