Wanita OKU didenda RM1,800 pijak budak 11 tahun

Iklan
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara tiga bulan sekiranya OKS gagal menjelaskan denda tersebut.

SEREMBAN - Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan memijak seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.

Hakim, Saiful Sayoti menjatuhkan hukuman itu selepas orang kena saman (OKS) Norwinna Ahmad Norwi,36, membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan dibacakan.

Iklan
Iklan

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara tiga bulan sekiranya OKS gagal menjelaskan denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, OKS telah didapati dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dengan memijak mangsa pada bahagian muka dan kaki.

Iklan

Perbuatan terbabit dilakukan pada 15 Julai 2025, kira-kira jam 12.30 tengah hari di sebuah kedai runcit di Nilai.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Iklan

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum satu tahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memberitahu OKS tiada sumber pendapatan dan belum berkahwin selain merupakan seorang OKU yang mempunyai masalah mental.

Timbalan Pendakwa Raya, Fidha Misjedi memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mahkamah mengambil kira umur mangsa yang berusia 11 tahun selain kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi OKS.

Jelasnya, pengakuan salah OKS tidak secara automatik memberikan hak kepadanya untuk mendapatkan hukuman rendah.

Sebelum ini media melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki 11 tahun bengkak pada bahagian hidung dan lebam pada beberapa bahagian kaki selepas dipercayai ditendang dan dipijak seorang wanita di sebuah kedai runcit di Nilai.

Suspek bertindak demikian kerana didakwa berada dalam keadaan halusinasi dengan mengesyaki mangsa mencuri barang di kedai runcit terbabit.