CIGO pemacu budaya kerja integriti, telus

Iklan
Azmi (tengah) merasmikan Simposium CIGO dan Mesyuarat CIGO Tahun 2025 pada Rabu. Foto SPRM

KUALA LUMPUR – Ketua Unit Integriti dan Governans (CIGO) merupakan pemacu utama kepada budaya kerja yang berasaskan akauntabiliti, ketelusan dan integriti dalam sesebuah organisasi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, CIGO juga memainkan peranan sebagai penghubung antara pembuat dasar dan pelaksana dalam usaha mengenal pasti kelemahan sistem serta prosedur sedia ada.

Iklan
Iklan

Katanya, langkah tersebut bertujuan menutup ruang kelemahan, membina mekanisme pencegahan yang berkesan, serta memastikan aduan dan maklumat salah laku ditangani secara berintegriti dan berani.

Azmi semasa berucap pada Simposium CIGO Tahun 2025 di Menara Felda, Kuala Lumpur pada Rabu. Foto SPRM

Iklan

“Peranan dan tindakan ini perlu disokong penuh oleh Lembaga Pengarah dan Pengurusan Tertinggi organisasi.

“Komitmen menyeluruh ini bukan sekadar slogan atau laungan, tetapi harus diterjemahkan dalam bentuk tindakan, menjadikan pemantapan integriti serta tadbir urus sebagai agenda utama kepimpinan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Simposium CIGO Tahun 2025 dan Mesyuarat CIGO Siri 7 Bilangan 1 Tahun 2025, anjuran bersama FGV Holdings Berhad (FGV) dan SPRM di Menara Felda di sini pada Rabu.

Menurut Azmi, simposium tersebut merupakan platform bermakna untuk memperkukuh jaringan kerjasama antara CIGO, di samping menjadi pemangkin kepada percambahan fikiran, perkongsian idea dan penghasilan cadangan penambahbaikan yang boleh dimanfaatkan oleh semua pihak berkepentingan.

Simposium CIGO 2025 bertemakan 'Integriti Dalam Tindakan: Transformasi Aduan ke Arah Tadbir Urus Madani'.

Majlis turut diserikan dengan sesi forum, pelancaran Sistem Pengurusan Pemberi Maklumat (Whistleblowing) FGV, serta lafaz Ikrar Bebas Rasuah FGV yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Fakhrunniam Othman.

Turut hadir, Pengarah Besar Felda, Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman; Ketua Pegawai Eksekutif MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM), Tuan Syed Feizal Syed Mohammad; Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA) SPRM, Lim Bee Kean dan Ketua Unit Integriti Felda, Mohd Anuar Ismail.

Sementara itu, Pengerusi FGV, Tan Sri Rastam Mohd Isa berkata, FGV komited untuk menyumbang secara aktif kepada agenda membanteras rasuah dan membina budaya organisasi yang berteraskan integriti serta akauntabiliti.

“Pelancaran Sistem Pengurusan Pemberi Maklumat FGV ini merupakan langkah konkrit yang mencerminkan komitmen berterusan syarikat di setiap peringkat, bermula daripada Lembaga Pengarah dan Pengurusan Tertinggi sehingga ke anak syarikat,” ujarnya.