COX’S BAZAR – Seorang lelaki muda yang ditangkap ketika cuba mencuri di sebuah gim di sini menerima balasan yang tidak dijangka kerana bukan ditahan polis, tetapi dipaksa menjalani hukuman fizikal menyeksakan sehingga menangis kesakitan dan hampir rebah.
Dalam kejadian yang berlaku di Pusat Gim Power Kutupalong, Cox’s Bazar, Bangladesh itu pemilik gim berkenaan memilih untuk mengambil pendekatan luar biasa apabila suspek lelaki yang tidak dinamakan itu ditangkap ketika cuba mencuri peralatan gim.
Sebagai ganti tidak menyerahkan suspek kepada pihak berkuasa, pemilik gim menghukumnya dengan satu siri senaman berat yang menyeksakan termasuk, cangkung, tekan tubi, tekan bangku, tekan dada dan tekan kaki yang sebahagiannya dengan beban berat.
Rakaman video yang tular di media sosial memaparkan suspek dilihat menangis, merintih dan memohon dilepaskan ketika menjalani ‘hukuman senaman’ tersebut.
Klip berdurasi beberapa minit itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. Ada yang menyifatkannya sebagai pendekatan mendidik tanpa keganasan, namun tidak kurang juga yang mengecam tindakan itu sebagai memalukan dan bertentangan dengan hak asasi manusia.
“Kalau dia bersalah, serahkan kepada pihak berkuasa. Tak wajar dihukum begini dan kemudian dijadikan tontonan umum,” tulis seorang pengguna media sosial.
Namun, ada juga yang menyokong pendekatan berkenaan sambil menyifatkan ia sebagai pengajaran kepada pencuri lain.
Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada tindakan pemilik gim itu akan disiasat pihak berkuasa, namun tindakan merakam dan menyebarkan video berkenaan turut mencetuskan perdebatan dari sudut etika dan perundangan.-Agensi