SHAH ALAM - Mengeluarkan peranan Perdana Menteri dalam proses pelantikan hakim terutama bagi jawatan tertinggi badan kehakiman negara antara perkara yang boleh dipertimbangkan kerajaan sekiranya ingin menambah baik Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009.
Pakar perlembagaan, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, usaha ini penting untuk menangani persepsi awam terhadap institusi kehakiman di Malaysia.
“Maksudnya di sini Perdana Menteri tidak terlibat langsung dalam proses pelantikan hakim termasuk Ketua Hakim Negara. Maknanya JAC terus kepada Majlis Raja-Raja dan Majlis Raja-Raja terus berunding dengan Yang di-Pertuan Agong, kemudian Yang di-Pertuan Agong buat keputusan.
“Perkara ini sebenarnya boleh dilaksanakan dan kalau ikutkan sesuai, tetapi isunya sekarang adakah kerajaan mahu melepaskan kuasa terhadap pelantikan jawatan tertinggi dalam institusi kehakiman?
“Saya lihat inilah antara cadangan yang boleh dipertimbangkan kerajaan sekiranya ingin mengelak kekeliruan dan salah sangka mengenai peranan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada Selasa dilaporkan berkata, kerajaan akan meneliti untuk menambah baik akta JAC 2009 bagi mengelak kekeliruan dalam proses pelantikan hakim yang baharu.
Menurutnya, satu jawatankuasa khas akan dibentuk melibatkan ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara, golongan akademik, pakar Perlembagaan serta wakil Majlis Peguam bagi meneliti semula struktur serta tafsiran akta berkenaan.
Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal berkata, antara cadangan penambahbaikan lain yang boleh dibuat kerajaan ialah dengan memberi penjelasan lebih mendalam mengenai fungsi dan peranan Perdana Menteri dalam proses pelantikan tersebut.
Ujarnya, kefahaman kepada masyarakat awam ini penting untuk memastikan unsur manipulasi dan persepsi dapat ditangani dengan sebaiknya bagi menjaga integriti institusi kehakiman negara.