Arak di sekolah: Tiada kompromi, hukum penjual

Iklan
Insiden penjualan minuman keras dalam kawasan sekolah yang tular baru-baru ini, sungguh mengejutkan rakyat Malaysia.

INSIDEN penjualan minuman keras dalam kawasan sekolah yang tular baru-baru ini, sungguh mengejutkan rakyat Malaysia.

Ia bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah mencemarkan institusi pendidikan yang sepatutnya menjadi tempat membina sahsiah dan menimba ilmu para generasi masa depan.

Iklan
Iklan

Lebih membimbangkan, kejadian ini berlaku dalam lingkungan pelajar bawah umur yang sedang membentuk identiti diri dan mudah terpengaruh dengan persekitaran.

Perbuatan menjual arak secara terbuka dalam kawasan sekolah bukan hanya tidak bermoral, malah melanggar beberapa peruntukan undang-undang. Seksyen 32(1) Akta Eksais 1976 jelas menyatakan bahawa adalah menjadi kesalahan bagi mana-mana pihak menjual minuman keras tanpa lesen sah.

Iklan

Seksyen 33 akta yang sama juga melarang penjualan arak kepada individu bawah umur. Jika disabitkan, boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kementerian Pendidikan telah mengambil langkah tepat apabila menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa, namun siasatan sahaja tidak memadai.

Iklan

Perlu ada ketegasan dalam penguatkuasaan. Mana-mana vendor kantin atau pembekal luar yang terlibat wajar disenarai hitam dan dilarang beroperasi di mana-mana sekolah.

Pihak sekolah juga perlu menjalankan audit berkala terhadap semua perkhidmatan luar yang ditawarkan di premis mereka.

Kesan kepada pelajar amat besar. Pendedahan kepada alkohol pada usia muda boleh membawa kepada ketagihan, masalah disiplin, gejala sosial dan keruntuhan moral.

Ibu bapa pula akan hilang kepercayaan terhadap keselamatan dan integriti sekolah sebagai tempat selamat untuk anak mereka belajar.

Masyarakat pula tidak terkecuali mempersoalkan ketelusan pentadbiran sekolah jika isu sebegini berulang.

Oleh itu, perbuatan menjual arak di kawasan sekolah bukan isu remeh. Ia adalah pengkhianatan terhadap nilai pendidikan negara.

Tiada ruang untuk kompromi dan hukuman mesti dilaksanakan hingga ke akar agar maruah institusi pendidikan tidak dipijak oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab!