MUAR – Polis telah memanggil dan merakam keterangan isteri dan adik kepada Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38 atau lebih dikenali Ija Nizaruddin yang dilaporkan hilang di Sungai Tui, Bukit Kepong pada Isnin lalu bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, isteri dan adik mangsa telah diambil keterangan pada malam Selasa.
“Adik mangsa merupakan individu terakhir yang berjumpa dengan orang hilang pada kira-kira jam 3.30 petang pada hari kejadian di kawasan Bukit Kepong.
"Mereka telah berkonvoi dari Johor Bahru ke Muar sebelum berjumpa sebentar di kawasan Bukit Kepong sebelum masing-masing beredar ke destinasi masing-masing," katanya pada sidang akhbar di lokasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Sungai Tui pada petang Rabu.
Beliau berkata, kehilangan Tengku Nizaruddin hanya disedari selepas polis dimaklumkan mengenai penemuan sebuah kereta putih yang separa timbul di Sungai Tui pada petang Selasa.
“Pasukan bomba dan penyelamat yang tiba di lokasi kemudiannya telah menjalankan selaman awal, namun tiada mangsa ditemui di dalam kenderaan. Kereta berjaya dinaikkan pada jam lebih kurang 7.30 malam pada Selasa.
“Hasil pemeriksaan hanya menemui sepasang selipar dan topi dipercayai milik mangsa, manakala telefon bimbitnya masih belum dijumpai.
"Rekod juga menunjukkan talian telefon mangsa sudah tidak aktif sejak hari mangsa dikatakan hilang,” katanya.
Menurut Raiz Mukhliz, operasi mencari dan menyelamat SAR diteruskan pada Rabu melibatkan 30 anggota polis, 30 anggota bomba, unit anjing pengesan K9 dan dron.
Katanya, kawasan pencarian sehingga radius dua kilometer meliputi kawasan sungai dan kampung sekitar.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai orang hilang. Buat masa ini, segala bentuk siasatan masih dijalankan. Kami mohon diberikan ruang dan peluang untuk meneruskan siasatan ini bagi memastikan setiap elemen yang ada dapat disiasat dengan teliti.
"Kami tidak akan meninggalkan sebarang aspek atau unsur yang perlu disiasat. Sama ada terdapat elemen-elemen lain, siasatan akan terus dijalankan," katanya.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
Sebelum itu pada Selasa, media melaporkan Ija yang juga pempengaruh permotoran hilang selepas kereta jenis Perodua Axia dipandunya terjunam dalam sungai berkenaan.
Bagaimanapun, Ija tidak ditemui dalam kenderaannya itu.