'Sedih bila tahu arwah tinggalkan sesuatu untuk kami' - Ibu atlet angkat berat Terengganu

Iklan
Ibu, Rusmailaili Samsuri, 43, menunjukkan gambar anaknya atlet angkat berat Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu, Allahyarham Siti Noralyaa Mat Marzuki pada Majlis Penyampaian Faedah Pengurusan Mayat (FPM) di Taman Batin Perdana pada Rabu. Foto Bernama

KUALA NERUS – Keluarga atlet angkat berat wanita Terengganu, Siti Noralyaa Mat Marzuki, 25, yang meninggal dunia akibat kanser payudara terharu apabila dimaklumkan arwah meninggalkan manfaat perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ibu arwah, Rusmailaili Samsuri, 43, berkata, beliau tidak mengetahui anaknya pernah mencarum dengan PERKESO sehinggalah dimaklumkan oleh pihak berkenaan selepas pemergian Siti Noralyaa.

Iklan
Iklan

"Saya sedih bila dapat tahu arwah ada tinggalkan sesuatu untuk kami.

"Saya tak pernah tahu pun dia ada caruman PERKESO," katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Taman Batin Perdana di sini pada Rabu.

Iklan

Suhara (kanan) dan Hishamuddin (dua dari kiri) menyerahkan manfaat perlindungan di bawah PERKESO kepada Rusmailaili di kediamannya di Taman Batin Perdana, Kuala Nerus.

Rusmailaili berkata, dia tidak mengetahui anaknya menghidap kanser payudara sehinggalah selepas Hari Raya Aidiladha.

Iklan

"Saya juga tak tahu arwah sakit sehinggalah selepas Hari Raya Haji. Waktu itu dia dah tak boleh bangun.

"Dia memang tak nak ke hospital kerana risau menyusahkan kami.

"Adik-adiknya masih kecil dan tiada siapa yang boleh jaga mereka," katanya.

Menurutnya, arwah terlantar di hospital hampir sebulan sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sekitar jam 7.40 malam Sabtu lalu.

Katanya, arwah merupakan anak sulung daripada enam beradik dan amat rapat dengan adik-adiknya terutama yang bongsu berusia lapan tahun.

"Selepas tidak lagi bersama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), arwah bekerja di stesen minyak untuk membantu keluarga kerana bapanya hanya bekerja sebagai pemandu lori roti," katanya.

Siti Noralyaa yang pernah meraih pingat gangsa dalam acara angkat berat kategori 71 kilogram pada Sukan Malaysia (SUKMA) Kuala Lumpur 2022 disahkan menghidap kanser payudara tahap empat sejak enam bulan lalu.

Sementara itu, Pengarah PERKESO Terengganu, Suhara Mustaffa berkata, waris arwah layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM3,000 serta Faedah Pencen Penakat sebanyak RM897 sebulan yang akan disalurkan bermula Ogos ini.

Suhara (kanan) dan Hishamuddin (dua dari kiri) menyerahkan manfaat perlindungan di bawah PERKESO kepada Rusmailaili di kediamannya di Taman Batin Perdana, Kuala Nerus.

"PERKESO amat prihatin terhadap nasib waris pencarum termasuk atlet negeri.

"Bayaran pencen ini akan disalurkan setiap bulan dan sekiranya ibu bapa masih hidup, mereka akan terus menerima manfaat ini mengikut syarat yang ditetapkan.

"Ini membuktikan perlindungan sosial menyeluruh menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), sama ada mencarum secara sukarela atau melalui majikan," katanya.

Tambah beliau, dalam tempoh dua tahun, seramai 25 atlet telah menerima rawatan pemulihan menerusi skim sedia ada, termasuk dua pemain Terengganu FC (TFC) yang kini menjalani rawatan di Pusat Rehabilitasi PERKESO.

Penyampaian faedah kepada keluarga tersebut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim serta Pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahaya.