Bangkai helikopter AS355N terhempas dijangka dinaikkan esok

Iklan
Zailani memeriksa kelengkapan menyelam selepas Mesyuarat Penyelarasan Tindakan Antara Agensi Bagi Operasi Menaikkan Bangkai Helikopter di Gelang Patah, Iskandar Puteri.

ISKANDAR PUTERI - Bangkai helikopter jenis AS355N milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah, minggu lalu dijangka dinaikkan pada Khamis.

Difahamkan perkara itu antara yang dicapai menerusi Mesyuarat Penyelarasan Tindakan Antara Agensi bagi Operasi Menaikkan Bangkai Pesawat yang berlangsung di Markas Operasi Bersepadu di lokasi nahas pada Rabu.

Iklan
Iklan

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan bersama Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Johor, Senior Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah serta Timbalan Komander (Operasi) Pasukan Gerakan Udara (PGU) Subang, Senior Asisten Komisioner Ahmad Lokman Abdul Hadi.

Selepas mesyuarat, kedua-dua pegawai bersama pasukan berkenaan turut melakukan tinjauan ke lokasi dengan menaiki bot PDRM RH71 bagi menilai tindakan seterusnya.

Iklan

Operasi menaikkan bangkai helikopter itu dijangka dilaksanakan esok oleh pasukan penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sebelum ini telah melakukan penandaan lokasi, dibantu penyelam Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor.

Pasukan penyelam TLDM turut dilihat memeriksa peralatan selam dan dijangka melakukan selaman bagi pemantauan akhir sebelum operasi dijalankan.

Iklan

Mesyuarat koordinasi tersebut turut disertai seramai 25 anggota dan pegawai pelbagai agensi termasuk Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Putrajaya, Lembaga Pelabuhan Johor, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan (KKM) serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.

Dalam kejadian Khamis lalu, helikopter bernombor pendaftaran 9M-PHG yang dinaiki lima kru terhempas ketika menjalani simulasi lintas hormat sempena program Latih Amal Pelbagai Hala Pengesanan Sekuriti Nuklear Malaysia-Indonesia-Thailand-Singapura (MITSATOM) 2025.

Insiden itu menyebabkan Konstabel RG Devendran dari Balai Polis Tanjung Kupang dilaporkan masih kritikal.

Koperal Adeline Liu Yan Sin dari PGU yang sebelum ini turut kritikal kini dilapor beransur pulih, manakala juruterbang Asisten Komisioner Faizul Muhammad, pembantu juruterbang Superintenden Ahmad Bustamin Baharom dan Sarjan Siti Latipa Khairuddin pula cedera tetapi stabil.

Semua mangsa kini masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.