[VIDEO] 'Saya terus berenang' – Rakan nekad redah sungai cari pempengaruh hilang

Iklan

MUAR – “Saya tak fikir panjang, terus berenang nak pastikan Ija ada atau tidak dalam kereta itu."

Demikian kata Muhammad Syahmi Mansur, 30, yang sanggup meredah sungai selepas menemui kereta rakannya tenggelam di kawasan kebun berhampiran Sungai Tui, Bukit Kepong.

Iklan
Iklan

Muhammad Syahmi yang juga sahabat kepada pempengaruh, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, memberitahu bahawa beliau bersama beberapa rakan lain berusaha mencarinya sebaik dimaklumkan mengenai kehilangan Ija pada malam Isnin.

“Kami dapat tahu kereta dia hilang, jadi malam itu juga saya bersama sembilan rakan lain mencari Ija berdasarkan lokasi terakhir melalui sistem GPS yang diberikan oleh isterinya.

Iklan

“Disebabkan keadaan gelap dan kawasan kebun yang sukar dimasuki, kami tak dapat masuk jauh. Pencarian diteruskan hingga ke Muar tapi masih tak jumpa,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi mencari dan menyelamat pada Rabu.

Mohammad Syahmi menunjukkan gambar Tengku Nizaruddin yang dikhuatiri hilang.

Iklan

Menurutnya, keesokan hari mereka kembali semula ke lokasi dan dimaklumkan mengenai penemuan sebuah kereta di sungai berdekatan.

“Kebetulan anggota Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) beritahu ada nampak kereta dalam sungai. Bila saya tengok betul-betul, saya terus berenang ke arah kereta.

“Saya nampak pelekat nama kedai aksesori kereta milik Ija di cermin belakang, memang sah kereta dia,” katanya.

Beliau berkata, ketika itu cermin kiri dan kanan bahagian hadapan kereta didapati terbuka dan pintu tidak berkunci, namun air yang keruh menyukarkan usaha mengesan mangsa.

“Saya cuba selam dan rasa macam ada benda masa hulur kaki, tapi tak pasti. Saya terus maklumkan kepada polis dan pasukan bomba datang untuk pemeriksaan,” jelasnya.

Operasi mencari dan menyelamat di kawasan Sungai Tui membabitkan anggota polis dan bomba.

Muhammad Syahmi memberitahu, Ija sebelum kejadian dikatakan mahu menghantar kereta ke bengkel rakan di Muar sebelum singgah berjumpa adiknya, Tengku Abdul Aziz, 30, di Bukit Kepong.

“Dia tak pernah ada musuh. Kami dah lama kenal, susah senang bersama. Ija memang seorang yang sangat positif.

“Kali terakhir saya jumpa Ija ialah pada Ahad minggu lalu, dan malam itu kami sempat berbincang tentang baju menerusi telefon,” katanya.

Beliau berharap Ija segera ditemui dan mendoakan agar operasi pencarian yang sedang giat dijalankan pihak berkuasa mendapat petunjuk baharu.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Nor Alfatah Omar berkata, pasukannya menerima panggilan dan tiba di lokasi pada petang Selasa.

“Kami dapati sebuah Perodua Axia terjunam ke dalam sungai dengan kedalaman kira-kira dua meter,” katanya.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, mengesahkan kejadian dan memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) giat dijalankan.

“Polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar bagi membantu siasatan,” katanya.