PUTRAJAYA – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mempersoalkan sama ada Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar benar-benar berpuas hati dengan ketiadaan nama Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dalam senarai calon Ketua Hakim Negara yang dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja.
Menerusi satu hantaran di laman X, Zaid turut menyindir sama ada keputusan itu sudah cukup untuk menamatkan kontroversi pelantikan kehakiman atau adakah kedua-duanya sedar bahawa isu sebenar jauh lebih besar daripada sekadar soal nama.
“Adakah kamu berdua kini berpuas hati hanya kerana nama Ahmad Terrirudin tidak disenaraikan dalam senarai semasa?
“Atau kamu bersetuju bahawa perkara ini sebenarnya tidak menyelesaikan isu pokok iaitu dakwaan campur tangan dalam proses pelantikan kehakiman?” soalnya.
Zaid turut mengingatkan bahawa Rafizi dan Nurul Izzah sebelum ini menyamakan isu berkenaan dengan skandal klip video VK Lingam dua dekad lalu, apabila ahli perniagaan dan tokoh politik dikaitkan dengan usaha mempengaruhi pelantikan hakim.
“Jika perbandingan itu tepat, tidakkah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang dicadangkan perlu menyiasat lebih daripada sekadar ‘seorang hakim kanan’?
“Sepatutnya siasatan juga melibatkan sama ada Ahmad Terrirudin terlibat dalam satu konspirasi yang lebih besar atau hanya menurut arahan pihak atasan,” katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan wujudnya konspirasi yang lebih mendalam daripada apa yang sedang dibincangkan secara terbuka dan memberi amaran agar siasatan tidak dihentikan separuh jalan.
Zaid turut menegaskan, rakyat berhak mengetahui kebenaran dan mahukan ketelusan sepenuhnya dalam isu pelantikan hakim.
“Kita tidak boleh tutup isu ini separuh jalan. Rakyat mahu tahu perkara sebenar dan siapa yang bertanggungjawab.
“Sama ada kita mahukan kebenaran dan akauntabiliti, atau kita terus mewarisi budaya buat-buat lupa,” katanya.
Terdahulu media melaporkan salah seorang ahli Parlimen yang hadir pada pertemuan ahli-ahli Parlimen dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya memberitahu nama Ahmad Terirudin tiada dalam senarai untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mengisi kekosongan jawatan dalam institusi kehakiman.