Set talam durian bertutup kelambu laris, cecah 200 set sehari

Iklan
Muhammad Rizal menunjukkan set talam bertutup kelambu yang dijual di kedai miliknya di Serambi Teruntum pada Rabu.

KUANTAN - Keunikan persembahan set talam durian bertutup kelambu yang ditawarkan di dua cawangan gerai durian milik Muhammad Rizal Osman ternyata menarik perhatian pelanggan hingga mencatat jualan mencecah 200 set sehari.

Muhammad Rizal, 31, berkata, strategi itu diperkenalkan tahun ini di dua lokasi miliknya iaitu di Serambi Teruntum dan Balok dengan harga RM100 bagi setiap set talam.

Iklan
Iklan

“Setiap talam mengandungi lima hingga enam biji durian bergantung kepada saiz.

“Untuk set utama, kami tawarkan durian udang merah D13 yang isinya berwarna oren dan mempunyai rasa manis berlemak.

Iklan

"Kami juga ada set campuran termasuk durian IOI, musang king dan udang merah, dengan harga sama,” katanya ketika ditemui di gerai Mr Patin House, cawangan Serambi Teruntum, Rabu.

Menjelaskan inspirasi di sebalik idea kelambu durian, bapa kepada tiga anak itu berkata, ia diolah daripada konsep yang pernah dilihatnya di Kuala Lumpur, namun diberi sentuhan eksklusif dan lebih menarik.

Iklan

“Kalau hanya balut plastik biasa, isi durian boleh penyek dan kurang menarik. Dengan kelambu, buah nampak lebih asli dan tidak terjejas,” katanya.

Muhammad Rizal memulakan perniagaan durian semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekitar tahun 2020, dan kini telah memasuki tahun kelima.

Selepas beroperasi empat tahun dengan hanya satu cawangan, beliau membuka cawangan kedua pada tahun ini.

Menurutnya, antara durian yang menjadi pilihan pelanggan ialah udang merah D13 atau lebih dikenali sebagai 'golden bun', yang diambil terus dari ladang di Segamat, Johor.

“Orang sini panggil D13 ini macam 'mozzarella cheese' kerana teksturnya lembut dan rasanya unik. Kami ada pemborong tetap dari Johor Bahru, jadi bekalan kami konsisten,” katanya.

Muhammad Rizal mendedahkan jualan durian di dua cawangannya kini mencecah lebih enam tan sehari, dengan penghantaran dua hingga tiga kali sehari bergantung kepada hari biasa atau hujung minggu.

“Hari biasa kami buat dua trip jam 3 dan 5 petang. Hujung minggu pula sampai tiga trip 12 tengah hari, 3 petang dan 5 petang,” jelasnya yang kini menggaji 20 pekerja.

Selain menjual dalam bentuk set talam, Muhammad Rizal turut menawarkan durian mengikut biji, juga pada harga RM100 bagi setiap set, bergantung kepada saiz.

“Semuanya dengan isi berwarna oren yang menjadi kegemaran pelanggan,” katanya.