Geng Roni kecundang sorok migran di apartment

Iklan
Polis menyerbu sebuah inap desa di apartment di Setapak, Kuala Lumpur pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Geng Roni yang menjadikan unit apartment di Setapak di sini sebagai rumah penampungan bagi menempatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) dibongkar polis pada Selasa.

Op Pintas bermula kira-kira jam 9 malam itu dijalankan sepasukan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman hasil maklumat dan risikan.

Iklan
Iklan

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, seramai 12 orang warga asing berjaya ditahan atas pelbagai kesalahan.

Soffian

Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati empat suspek iaitu tiga lelaki dan satu wanita berusia 22 hingga 31 tahun disyaki berperanan sebagai ejen, tekong darat (transporter) dan penjaga di rumah penampungan terbabit.

"Tangkapan lain termasuk dua wanita merupakan migran dan mereka membabitkan empat Indonesia serta empat Bangladesh.

Iklan

"Suspek yang berperanan sebagai transporter akan menguruskan migran terbabit dari rumah penampungan sehingga ke persisiran pantai bagi penyeludupan keluar dari Malaysia melalui jalan laut," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, modus operandi Geng Roni ialah menawarkan perkhidmatan melalui iklan di media sosial.

Katanya, geng ini menggunakan rumah inap desa sebagai tempat transit kepada migran-migran yang hendak keluar atau masuk ke Malaysia melalui jalan tidak diwartakan.

"Geng ini dipercayai telah aktif sejak tiga bulan lalu dan ejen akan mengenakan bayaran kepada migran antara RM1,000 hingga RM1,700 seorang," ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama.