PADA petang Isnin, ahli Majlis Peguam Malaysia telah berhimpun di hadapan Istana Kehakiman bagi menyertai Perarakan Demi Mempertahankan Kebebasan Kehakiman.
Perarakan tersebut bertujuan menyerahkan memorandum empat tuntutan kepada Pejabat Perdana Menteri, melibatkan isu kebebasan dan integriti badan kehakiman negara.
Tuntutan tersebut merangkumi gesaan supaya kerajaan mengisi kekosongan jawatan tertinggi kehakiman, mendedahkan minit mesyuarat terkini Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan menangani kekosongan jawatan secara menyeluruh.
Peserta perarakan hadir dengan pakaian hitam sebagai simbol solidariti dan membawa plakad menuntut ketelusan dalam pelantikan kehakiman serta mendesak kerajaan mengambil tindakan segera terhadap krisis keyakinan terhadap institusi kehakiman negara.
Uniknya, perarakan itu turut disertai oleh Timbalan Presiden PKR yang baharu, Nurul Izzah Anwar dan beliau merupakan anak sulung kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim - situasi ini menimbulkan pelbagai reaksi dan spekulasi.
Isu ini sudah sampai ke kemuncaknya, daripada desakan ahli-ahli parti yang kini tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan PKR iaitu Datuk Seri Rafizi Ramli dan sembilan ahli Parlimen yang teguh berdiri di belakangnya, sehinggalah kepada penyebaran minit mesyuarat JAC di media sosial oleh pihak yang tidak diketahui.
Malah, difahamkan dalam pertemuan khas antara ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) juga telah meminta supaya Anwar tidak memilih Ketua Hakim yang didakwa ada isu integriti.
Sehubungan itu, Mesyuarat Majlis Raja-Raja juga dijangka membincangkan perkara tersebut dan Anwar turut memberi jaminan ia akan dapat diselesaikan dalam waktu terdekat.
Jadi, akhbar ini berharap agar Perdana Menteri dapat membuat keputusan yang betul, bukan sahaja untuk kepentingan negara dan rakyat, tetapi demi masa depan PKR sendiri.
Jika keputusan yang dibuat itu salah, sudah pasti akan terpahat dalam catatan sejarah dan akan terus menjadi titik hitam untuk parti itu melangkah lebih jauh pada masa akan datang.
Namun, kita yakin Perdana Menteri akan membuat pertimbangan semasak-masaknya dan beliau lebih tahu sebarang akibat jika tersalah langkah. Jadi buatlah keputusan yang tepat dan terbaik.