Harimau Malaya mampu tembusi kelompok 100 terbaik dunia

Iklan
Laporan Sukan Sinar baru-baru ini mengenai Harimau Malaya di kedudukan ke-125 dunia, melonjak enam anak tangga. Gambar kecil: Hamidin

HARIMAU Malaya diyakini berupaya untuk menempatkan diri dalam kelompok 100 terbaik dunia dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Keyakinan itu disuarakan Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang optimis terhadap kebangkitan skuad negara di bawah revolusi bola sepak yang digerakkan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Iklan
Iklan

Menurut bekas Presiden FAM itu, perkembangan positif mula kelihatan hasil projek revolusi tersebut dan beliau berharap kerjasama semua pihak akan terus dipertingkatkan bagi memastikan prestasi Harimau Malaya terus melonjak di pentas antarabangsa.

Aksi Harimau Malaya menentang Vietnam dalam aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Jun lalu.

Iklan

“Jika semua pihak berganding bahu dan memberikan sokongan, saya percaya tidak mustahil untuk kita berada dalam kelompok 100 terbaik dunia dalam dua atau tiga tahun lagi.

“Namun, usaha itu perlu konsisten kerana negara-negara lain juga sedang giat memperkukuhkan pasukan masing-masing. Perancangan berterusan sangat penting untuk memastikan Harimau Malaya kekal kompetitif di peringkat antarabangsa,” katanya.

Iklan

Ranking pasukan negara melonjak enam anak tangga daripada kedudukan ke-131 dunia kepada tempat ke-125 dunia iaitu kedudukan terbaik dalam tempoh 19 tahun sejak kali terakhir Malaysia menduduki kedudukan sama pada Februari 2006.

Perkembangan itu turut didorong oleh pelaksanaan revolusi perancangan jangka pendek termasuk kemasukan pemain-pemain warisan yang kini memainkan peranan penting dalam skuad kebangsaan.

Dalam pada itu, Hamidin turut menegaskan penglibatan menyeluruh pelbagai pihak akan menjadi tunjang kepada masa depan bola sepak negara.

“Saya kira semua peminat sudah faham tentang revolusi baharu ini. Apa yang penting, kita sebagai rakyat Malaysia perlu terus menyokong pasukan kebangsaan agar kejayaan lebih besar dapat dicapai.

“Kita semua mengimpikan pencapaian lebih cemerlang berbanding sekarang. Jadi, usaha berterusan mesti diteruskan. Dengan inisiatif yang dibawa oleh Tunku Mahkota Ismail, saya yakin kita berada di landasan yang betul untuk terus maju.

“Namun, kita tidak boleh selesa. Kita mesti terus berubah dan mencari formula lebih baik untuk meningkatkan prestasi pasukan. Kalau tidak, kita akan kembali merosot,” ujarnya.