PUTRAJAYA - Kerajaan akan meneliti untuk menambah baik Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 bagi mengelak kekeliruan dalam proses pelantikan hakim yang baharu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, satu jawatankuasa khas akan dibentuk melibatkan ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara, golongan akademik, pakar Perlembagaan serta wakil Majlis Peguam bagi meneliti semula struktur serta tafsiran akta berkenaan.
"Perlu diingat, Akta JAC dilulus dan diwujudkan sejak 2009 dan sejak itu (diguna pakai) dalam pelantikan lima Ketua Hakim Negara, tidak pernah timbul isu. Malangnya kini ia menjadi isu, jadi kita kena kaji secara mendalam.
"Kita perlu melakukan penambahbaikan kerana ketika ini wujud banyak kekeliruan dan tiada kejelasan dari perspektif awam," katanya ketika ditemui selepas Persidangan Antarabangsa Tadbir Urus dan Integriti 2025 di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang menjelaskan, penambahbaikan wajar dilakukan bagi mengenal pasti punca kekeliruan dalam proses pelantikan hakim.
"Di mana puncanya kekeliruan atau ketidakjelasan ini? Adakah daripada proses atau istilah yang digunakan, contohnya nama Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman itu sendiri.
"Mungkin perkataan 'pelantikan' itu menimbulkan persepsi tertentu, saya tidak pasti. Jadi kita perlu buat kajian,” ujarnya.
Sementara itu ditanya sama ada wujud tekanan politik dalam isu berkenaan, Ketua Penerangan UMNO itu menegaskan tidak terlibat dalam sebarang proses selain tidak mempunyai akses kepada dokumen rasmi berkaitan.
"Daripada semua mesyuarat politik yang saya hadiri bersama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), jelas tidak ada sebarang perbincangan khusus mengenai perkara ini.
"Keputusan terletak di tangan Majlis Raja-Raja dan Perdana Menteri, seperti yang dinyatakan di bawah Perkara 125," tegasnya.