DUNGUN – Penduduk Kampung Belimbing, Hulu Dungun di sini, kini hidup dalam kebimbangan selepas kelibat seekor harimau dikesan berkeliaran berhampiran kediaman mereka sejak Jumaat lalu.
Kehadiran haiwan buas itu bukan sahaja mencetuskan kegusaran dalam kalangan lebih 200 penduduk kampung, malah menyebabkan mereka takut untuk keluar rumah terutama pada waktu malam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, penduduk kampung mendakwa ternampak kelibat harimau itu di kawasan kebun dan hutan berhampiran dan dipercayai menghampiri kawasan rumah mereka.
"Penduduk mendakwa mereka ternampak kelibat harimau di sekitar kawasan rumah dan kebun. Ada juga yang menemui kesan tapak kaki dipercayai milik haiwan itu berhampiran kediaman mereka.
"Situasi ini amat membimbangkan kerana ia boleh mengancam keselamatan penduduk, khususnya kanak-kanak dan warga emas," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.
Ghazali berkata, pada petang Isnin, seekor harimau turut dipercayai berada di kawasan bukit berhampiran kawasan ternakan lembu apabila seorang penternak mendakwa terdengar bunyi ngauman haiwan liar berkenaan.
Sementara itu, seorang penduduk, Tuan Zahari Tuan Lasan, 63, berkata, misteri kehilangan 20 kilogram daging sejuk beku di hadapan rumahnya terjawab selepas melihat seekor harimau sedang meratah ayam peliharaannya.
"Pada awalnya saya ingat musang yang curi ayam dan daging, tapi malam itu saya dan isteri terdengar ayam berkokok kuat.
"Bila saya suluh dengan lampu, memang terkejut nampak harimau sedang makan ayam di depan rumah.
"Sebelum itu, daging sejuk beku yang saya simpan dalam kotak ais untuk dibuat daging salai turut hilang. Mungkin haiwan yang sama melarikan daging itu,"katanya.
Menurutnya, sejak kejadian itu, penduduk kini lebih berhati-hati dan memilih untuk tidak keluar rumah selepas maghrib kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku.
"Ini kali pertama harimau masuk kampung sejak lebih 35 tahun saya tinggal di sini. Kami harap pihak berkuasa dapat tangkap harimau ini segera sebelum ada yang jadi mangsa," ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berkaitan kejadian itu.
Katanya, pemantauan dan kawalan sedang giat dijalankan di sekitar kampung terbabit bagi memastikan keselamatan penduduk dan mengesan pergerakan harimau berkenaan.
"Kita percaya ia melibatkan harimau kumbang. Jadi, penduduk dinasihatkan untuk tidak mengambil tindakan sendiri. Jika ternampak kelibat haiwan itu atau menemui kesan terbaru, segera laporkan kepada pihak kami untuk tindakan lanjut," katanya.
Beliau turut menasihatkan penduduk agar menutup kawasan ternakan dan memastikan kawasan rumah sentiasa terang pada waktu malam bagi mengurangkan risiko serangan haiwan liar.
"Khidmat nasihat juga telah diberikan kepada penduduk sekitar supaya tidak memprovokasi hidupan liar tersebut dan tidak memasuki kebun atau ladang seorang diri demi keselamatan," ujarnya.