SHAH ALAM - IOI Properties Group Berhad (IOIPG) bekerjasama dengan Marriott International Hotels and Resorts dan Marriott Worldwide Business Council di Malaysia (Marriott International) menjayakan aktiviti penanaman pokok di 16 Sierra, Puchong, Selangor sempena Hari Alam Sekitar Sedunia.
Menurut Pengurus Besar 16 Sierra, Calvin Sew, pihaknya berbesar hati apabila perbandaran gaya hidup berkeluasan 214 hektar itu dipilih sebagai lokasi penanaman pokok sekali gus dapat menangani kawasan yang paling memerlukan usaha penghijauan.
“Seiring dengan IOI Sustain Roadmap 2030, inisiatif ini bertujuan meningkatkan ekosistem alam sekitar di 16 Sierra, seterusnya memperbaiki kesejahteraan komuniti dan menonjolkan komitmen berterusan terhadap prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
“Kelestarian merupakan teras perniagaan IOIPG dan kami berbangga menerapkan nilai berkenaan melalui inisiatif seperti penanaman pokok, habitat kelip-kelip di The Tribe Glamping dan aliran sungai kering di Central Park yang melengkapi ekosistem perbandaran ini,” katanya.
Beliau menambah, pihaknya juga merancang koridor ekologi yang menghubungkan seluruh perbandaran dan kawasan hijau bersijil berkeluasan 24.2 hektar dengan memfokuskan tenaga boleh diperbaharui, pengurusan air, perancangan alam sekitar, bangunan hijau serta pengangkutan hijau.
Sementara itu, Pengerusi Kelestarian Marriott Worldwide Business Councils Malaysia, Christopher Moore berkata, pihaknya turut menyokong amalan kelestarian dan menyumbang kepada usaha global untuk mengurangkan pelepasan karbon.
“Usaha ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang pendekatan perniagaan lebih hijau, tetapi membawa pelbagai manfaat kepada perbandaran seperti 16 Sierra dan komuniti secara keseluruhannya,” ujarnya yang juga Pengurus Besar Le Méridien Petaling Jaya.
Inisiatif penanaman pokok itu melibatkan lebih 100 peserta termasuk kakitangan IOIPG, Marriott International dan sukarelawan komuniti 16 Sierra. Kesemua pokok ditanam di lapan lokasi termasuk Lookout Point dan Central Park yang berkeluasan 2.9 hektar.
Antara spesies pokok yang ditanam sepanjang acara tersebut termasuk gaharu dan binjai yang masing-masing dikategorikan sebagai kritikal terancam dan hampir terancam dalam Senarai Merah Spesies Terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).
Aktiviti berkenaan turut menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu Bandar dan Komuniti Lestari (SDG 11), Tindakan Iklim (SDG 13), Kehidupan di Darat (SDG 15) dan Kerjasama demi Matlamat (SDG 17).
Pada masa sama, acara penanaman pokok itu akan meningkatkan kualiti hidup pelbagai jenis kediaman di 16 Sierra termasuk pembangunan berorientasikan transit pertama IOIPG, COVO dengan laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 100 meter ke Stesen MRT 16 Sierra.
Menawarkan 601 unit apartmen servis dengan keluasan dari 550 hingga 1,130 kaki persegi, COVO merupakan projek kediaman pertama di 16 Sierra yang mendapat pensijilan GreenRE dan pada masa sama, menonjolkan komitmen IOIPG terhadap pendekatan pembangunan lestari.