Peserta perarakan pertahan kebebasan patuh Akta Perhimpunan Aman - Polis

Iklan
Datuk Mohamed Usuf Jan

KUALA LUMPUR - Peserta yang menyertai Perarakan Demi Mempertahankan Kebebasan Kehakiman di Putrajaya pada Isnin mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan berkata, Majlis Peguam Malaysia (MPM) telah mengadakan himpunan dan perarakan dari Istana Kehakiman hingga ke Bangunan Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada jam 12.30 tengah hari hingga 4 petang.

Iklan
Iklan

"Peserta yang hadir dalam perhimpunan dan perarakan itu mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Perhimpunan itu diadakan bagi mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat dakwaan gangguan urusan pelantikan dan keputusan kehakiman serta menggesa pengisian segera kekosongan jawatan hakim," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Mohamed Usuf berkata, seramai kira-kira 600 ahli MPM telah hadir dalam perhimpunan tersebut.

"Perhimpunan itu berlangsung dengan baik dan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Iklan

"Pihakpolis membuat kawalan sepanjang himpunan berlangsung bagi mengekang daripada sebarang insiden berlaku," ujarnya.

Pada Isnin, media melaporkan perarakan tersebut bertujuan menyerahkan memorandum empat tuntutan kepada Pejabat Perdana Menteri melibatkan isu kebebasan dan integriti badan kehakiman negara.

Peserta perarakan hadir dengan pakaian hitam sebagai simbol solidariti dan membawa plakad menuntut ketelusan dalam pelantikan kehakiman serta mendesak kerajaan mengambil tindakan segera terhadap krisis keyakinan terhadap institusi kehakiman negara.