BUTTERWORTH - Sebanyak 20 ekor kambing berjaya diselamatkan dalam satu kebakaran melibatkan sebuah kandang ternakan dan dua buah rumah berhampiran di Kampung Air Melintas Besar, Tasek Gelugor sini awal pagi Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, kandang kambing berkeluasan 20 x 30 kaki persegi musnah hampir 80 peratus, namun tindakan pantas pemilik berjaya menyelamatkan kesemua kambing ternakannya.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, dua buah rumah kelas A turut terjejas dalam kejadian tersebut.
Menurutnya, sebuah rumah musnah di bahagian dapur dan ruang tamu sebanyak 10 peratus manakala sebuah lagi mengalami kemusnahan 20 peratus.
"Turut terbakar dalam insiden itu ialah enam buah motosikal dengan kemusnahan dianggarkan sebanyak 80 peratus bagi setiap unit.
"Seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tasek Gelugor serta bantuan dari BBP Kepala Batas telah dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 6 pagi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, jentera pertama tiba di lokasi pada jam 6.20 pagi dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.49 pagi sebelum dipadam sepenuhnya 20 minit kemudian.
"Kerja-kerja pemadaman dijalankan secara ofensif dan defensif, manakala kerja-kerja ‘overhaul’ diteruskan sehingga operasi tamat pada jam 8.56 pagi.
“Tiada mangsa cedera dilaporkan dan semua kambing berjaya diselamatkan oleh pemilik sebelum api merebak,” katanya.
Operasi turut mendapat bantuan daripada polis, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Pasukan Bomba Sukarela Kampung Selamat.
Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak forensik bomba.