KHURAFAT, ajaran sesat dan menyimpang daripada agama Islam merupakan isu yang tidak pernah sunyi dilaporkan di dada akhbar mahupun media dalam talian.
Ada sahaja isu yang menggemparkan berkait dengan umat Islam kebelakangan ini termasuk ‘mencuri’ tanah kubur Nurly Sahirah, salah seorang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya bersama 14 rakannya yang lain.
Kemudian terbaharu, timbul pula program yang mengajar ajaran menyeleweng daripada agama Islam, yang didakwa diambil daripada agama lain namun bertopengkan motivasi rumah tangga Islamik.
Pesertanya pula bukan calang-calang memandangkan yuran penyertaannya sahaja menelan ribuan ringgit malah boleh mencecah hingga RM10,000.
Antara inti pati yang diajarkan di kemuncak program tersebut antaranya menanggalkan kesemua pakaian simbolik kepada membuang masalah yang ada dalam diri dan diajak menari dalam keadaan bogel bersama-sama tanpa sekelumit rasa malu.
Walaupun kesemua pesertanya wanita, tetap ada auratnya dan haram untuk bertelanjang bulat.
Peserta juga diberi minum sejenis air yang tidak diketahui kandungannya yang boleh mengubah emosi dalam waktu singkat.
Pada zaman yang serba canggih dan kesemua produk perlukan label serta logo, masih lagi kita tertipu untuk mengambil produk label yang sepatutnya ada dan logo pengiktirafan produk yang lain seperti halal dan sebagainya.
Ajaran menyeleweng ini sebenarnya bukanlah baru bermula, bahkan telah menyelusup masuk melalui jalan yang sangat halus seperti motivasi rumah tangga, program wanita berdikari tanpa perlu bergantung dengan suami, menjadi diri sendiri, bersatu dengan tuhan dan sebagainya.
Di sebalik penampilan lembut dan bahasa cinta yang kononnya mendamaikan, gerakan ini sebenarnya membawa satu fahaman yang jauh menyimpang daripada ajaran agama Islam dan akidahnya yang murni.
Pihak berkuasa terutamanya jabatan agama tidak boleh hanya menunggu isu ini menjadi barah sebelum tindakan diambil. Siasatan hingga ke akar umbi perlu dilaksanakan.
Ibu bapa, pasangan, ahli keluarga dan rakan-rakan juga perlu prihatin dan mengambil berat dalam kelompok masing-masing. Jika ada yang melampaui, terus tegur dan nasihat selain melaporkan kepada pihak berkuasa dengan kadar segera.