KLUANG – Hanya kerana terpikat dengan sambal nasi lemak, episod cinta terlarang seorang lelaki bujang dengan seorang wanita berstatus isteri orang akhirnya terbongkar apabila mereka dicekup berkhalwat dalam operasi cegah maksiat, pada Ahad.
Serbuan kira-kira jam 11.45 malam dilakukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) hasil aduan awam.
Dalam kenyataan, JAINJ memaklumkan anggota penguat kuasa memeriksa rumah terbabit yang didiami wanita berusia 28 tahun bersama pasangan lelaki berusia 30 tahun.
"Hasil pemeriksaan mendapati rumah sewa itu didiami wanita terbabit yang masih berstatus isteri orang namun tidak lagi tinggal serumah dengan suaminya sejak beberapa tahun lalu.
“Wanita itu berkahwin dengan suaminya yang berasal dari Mersing sejak tahun 2017, namun belum dikurniakan cahaya mata,” menurut kenyataan berkenaan.
Siasatan awal mendapati wanita terbabit mula berkenalan dengan lelaki terbabit ketika sama-sama bekerja di sebuah kedai makan di sekitar Kluang.
Hubungan mereka menjadi semakin rapat kerana lelaki tersebut dikatakan begitu meminati sambal nasi lemak yang dimasak wanita berkenaan.
“Lelaki itu mendakwa tertarik dengan air tangan wanita berkenaan, terutamanya sambal nasi lemak yang dimasaknya.
"Daripada sekadar pelanggan, mereka akhirnya jatuh cinta dan lebih mengejutkan mereka membuat keputusan untuk menyewa rumah bersama sejak dua bulan lalu dan tinggal seperti suami isteri," menurut kenyataan itu lagi.
Kedua-duanya kini ditahan kerana disyaki berkhalwat dan kes disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.