SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dikhabarkan sudah sihat sepenuhnya selepas dilapor mengalami keletihan dan dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada Ahad.
Menerusi video dimuat naik di Facebook rasmi beliau, negarawan ulung itu dilihat masih gagah berjalan seperti biasa dan menaiki kenderaan peribadi ke Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1).
Dr Mahathir berkata, pihaknya turut memohon maaf kerana tidak dapat menghabiskan program Picnic & Potluck bersama ribuan pengunjung di Putrajaya.
“Saya memohon maaf tak dapat bersama pada waktu kita ada piknik yang mana ribuan orang hadir, tetapi oleh kerana saya terlalu letih, terpaksa berehat dan doktor suruh pergi hospital.
“Sekejap sahaja di hospital kemudian saya balik. Sekarang saya dah pulih setelah dirawat oleh doktor dan boleh teruskan cara hidup saya iaitu bekerja.
“Harap dimaafkan, terima kasih semua,“ katanya pada Isnin.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Dr Mahathir dimasukkan ke IJN sekitar jam 10 pagi akibat keletihan.
Beliau hadir memeriahkan Picnic & Potluck sempena sambutan kelahirannya yang ke-100 pada 10 Julai lalu beserta ulang tahun kelahiran ke-99 isterinya, Tun Dr Hasmah Mohamad Ali.
Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu tiba pada jam 7.45 pagi dengan memandu sendiri sebelum mengayuh basikal selama 30 minit di sekitar Tasik Putrajaya.