Dakwaan Pemuda UMNO Negeri Sembilan akan diteliti - Jalaluddin

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung dakwaan Pemuda UMNO Negeri Sembilan tidak mendapat layanan baik daripada Kerajaan Perpaduan

SEREMBAN – Dakwaan Pemuda UMNO Negeri Sembilan yang mengatakan parti itu tidak mendapat layanan sewajarnya daripada Kerajaan Perpaduan akan diteliti, kata Exco Kanan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Menurutnya, beliau tidak pasti mengapa dakwaan terbabit timbul kerana sebarang keputusan berkaitan soal pentadbiran dibuat secara bersama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Iklan
Iklan

“Saya difahamkan Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md Zin telah menyuarakan perkara itu dalam mesyuarat Persidangan Pemuda UMNO Seremban baru-baru ini.

“Kemungkinan apa yang disuarakan itu adalah pandangan peribadi beliau atau suara-suara daripada peringkat akar umbi yang disampaikan dan saya akan menelitinya,” katanya ketika mengulas dakwaan tersebut yang dilaporkan Sinar Harian sebelum ini.

Iklan

Berhubung jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) yang turut dibangkitkan, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan itu berkata, buat masa ini tiada keperluan untuk mewujudkan jawatan tersebut.

Ini kerana, katanya, Yang Dipertua DUN, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman dilihat mampu mempengerusikan DUN dengan baik setelah hampir dua tahun diberi tanggungjawab itu.

Iklan

Selain itu, mengenai jawatan Ahli Lembaga Pelawat Hospital pula, Jalaluddin berkata, ia belum dimuktamadkan kerana masih terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti, dan dijangka akan diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan yang akan datang.

“Menjadi amalan Kerajaan Perpaduan di negeri ini untuk memastikan pengagihan jawatan secara sama rata antara BN dan Pakatan Harapan.

“Jadi saya tidak nampak tiada pencalonan daripada wakil UMNO. Mungkin yang dimaksudkan adalah berhubung individu tertentu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menghormati perkara yang dibangkitkan dan akan memanggil Ketua Pemuda UMNO negeri tersebut untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara yang dimaksudkan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan dakwaan Pemuda UMNO Negeri Sembilan yang antaranya mempersoalkan mengapa permintaan BN supaya jawatan Timbalan Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan diberikan kepada wakil parti itu masih belum dipenuhi sehingga kini.