Wanita warga asing dicekup kes pecah rumah di Bentong

Iklan
Antara wang yang dirampas daripada suspek. Foto ihsan PDRM

BENTONG - Seorang wanita warga asing berjaya diberkas selepas disyaki memecah masuk sebuah rumah di Taman Anggerik Heights di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.10 tengah hari itu, suspek yang berusia 37 tahun dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sedang berlegar-legar di kawasan perumahan sebelum menceroboh kediaman mangsa.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 32 tahun pada jam 9.40 malam hari yang sama.

Menurutnya, wanita itu memaklumkan rumahnya telah dipecah masuk dan wang tunai berjumlah kira-kira RM10,000 lesap.

Iklan

“Hasil siasatan lanjut berdasarkan rakaman CCTV, polis berjaya mengenal pasti suspek sebagai seorang wanita dan melancarkan operasi memburu.

"Pada jam 10.50 malam, pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong berjaya menahan suspek di tepi jalan berdekatan kawasan perumahan berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Ujarnya, pemeriksaan ke atas suspek membawa kepada penemuan sebuah beg kecil berwarna kelabu yang mengandungi wang tunai RM1,012 dipercayai sebahagian daripada jumlah wang yang dicuri.

“Siasatan mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah dan kini direman selama empat hari hingga 16 Julai bagi membantu siasatan,” jelas beliau.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 14 tahun jika sabit kesalahan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen sah.

Tambahnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan baki wang yang hilang serta kemungkinan penglibatan suspek dalam kes jenayah lain.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah bagi membolehkan tindakan pantas diambil dan penjenayah ditahan segera.