PUCHONG - Pergerakan lori yang membawa muatan mencurigakan telah membongkar kegiatan dipercayai penyelewengan minyak masak yang beroperasi di sebuah kilang di sini.
Aktiviti itu dibongkar menerusi Op Sawit yang dijalankan Unit Risikan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman diketuai Pegawai Turus Risik Operasi JSPT Bukit Aman, Asisten Superintenden Mohd Rizam Surani bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, sebuah lori yang disyaki terlibat dalam kegiatan itu telah dikesan kira-kira jam 4 petang, Jumaat di sekitar Klang.
Menurutnya, lori terbabit telah diekori hingga ke sebuah premis kilang di Puchong.
"Pasukan serbuan telah menahan pemandu lori terbabit iaitu lelaki tempatan berusia 36 tahun serta seorang lelaki berusia 44 tahun yang dipercayai penjaga premis.
"Pemeriksaan ke atas lori terbabit menemui empat tong IBC disyaki berisi kira-kira 4,000 liter minyak sawit selain satu unit pam," katanya pada Ahad.
Tambah Mohd Yusri, pemeriksaan lanjut di dalam premis menemui satu tangki penapis yang disyaki berisi minyak sawit terpakai seberat kira-kira 500 kilogram, dua unit pam serta hos, selain lima tangki yang disyaki mengandungi minyak sawit mentah dengan anggaran isi padu 13,500 liter.
Beliau berkata, kedua-dua lelaki terbabit ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki keluaran minyak sawit tanpa lesen sah.
"Kesemua rampasan bernilai RM212,200 telah dibawa ke Pejabat MPOB Wilayah Selatan untuk tindakan selanjutnya," ujarnya.
Jelasnya, objektif utama operasi itu adalah untuk membanteras serta mengambil tindakan undang-undang terhadap pesalah yang melakukan aktiviti penyeludupan minyak mentah sawit menggunakan kenderaan perdagangan di atas jalan raya.
Kes disiasat di bawah Kaedah 5 Peraturan-Peraturan LMSM (Pelesenan) 2005 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.