SEPANG - Sebuah kereta jenis BMW terbakar ketika menyertai satu acara perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, kenderaan itu terbakar di selekoh empat disyaki berpunca daripada kebocoran tangki.
"Kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis BMW yang musnah keseluruhan di dalam Litar Sepang dan kebakaran tidak melibatkan mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, 11 anggota dan pegawai daripada Balai Bomba dan Penyelamat KLIA dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 12.38 tengah hari. - Bernama