SHAH ALAM – Hujan lebat berterusan sejak awal pagi Sabtu menyebabkan beberapa laluan utama di kawasan Bukit Naga, Seksyen 32 di sini dinaiki air sehingga menjejaskan kelancaran trafik dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna jalan raya.
Tinjauan orang awam yang dikongsikan di media sosial menunjukkan paras air mula melimpah ke atas jalan raya berhampiran kawasan pembinaan dan simpang masuk utama ke kawasan perumahan.
Beberapa pemandu dilihat memperlahankan kenderaan dan cuba mengelak laluan yang dinaiki air bagi mengelakkan risiko kerosakan enjin.
Sebuah papan amaran"Awas: Keluar Masuk Kenderaan Pembinaan" turut kelihatan di lokasi, menunjukkan kawasan tersebut berhampiran zon kerja projek.
Keadaan jalan yang tidak sempurna serta sistem saliran yang terhalang dipercayai antara punca berlakunya banjir kilat di kawasan berkenaan.
Mengulas kejadian tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, Preakas Sampunathan meluahkan kekecewaan terhadap kelewatan pelaksanaan projek mitigasi banjir yang dijanjikan.
“Pagi ini, sekali lagi kawasan Jalan Bukit Kemuning, Taman Bukit Kemuning (Jalan Bukit Rimau) banjir. Walaupun kerajaan negeri telah mengarahkan projek quick win, tindakan tersebut sangat perlahan.
“Contohnya, air dari Lebuhraya Shah Alam (KESAS) sering menyebabkan banjir di Taman Bukit Kemuning dan seterusnya masuk ke dalam lot-lot premis di Bukit Kemuning.
“Saya minta Kerajaan Pusat membantu kami juga supaya membawa penyelesaian yang menyeluruh. Hujan satu atau dua jam sahaja boleh menyebabkan banjir yang agak kritikal,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau turut menyeru kerjasama bersepadu antara kerajaan negeri dan Persekutuan untuk segera melaksanakan pelan penyelesaian jangka panjang yang menyeluruh bagi mengelakkan kejadian sama terus berulang.
Orang ramai yang melalui kawasan berkenaan dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan menggunakan laluan alternatif jika perlu, terutama ketika waktu puncak.
Setakat ini, tiada laporan kemalangan atau kecederaan diterima akibat kejadian banjir kilat tersebut.