Nombor 20 Jota kini bersara

Iklan
Liverpool bersarakan nombor 20 Jota.

JUARA Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool secara rasmi bersara nombor jersi 20 milik penyerang berbisa, Diogo Jota, di semua peringkat pasukan termasuk skuad wanita dan akademi gergasi Merseyside itu.

Jota dan adiknya, Andre Silva, sebelum itu maut dalam satu nahas jalan raya tragis di Portugal baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Keputusan itu dibuat sebagai tanda penghormatan selepas rundingan bersama isteri mendiang Jota, Rute Cardoso, serta ahli keluarga terdekat, sekali gus memastikan jersi ikonik itu selamanya menjadi milik Liverpool nombor 20.

Tindakan ini merupakan satu pengiktirafan bukan sahaja terhadap sumbangan tidak ternilai pemain Portugal itu kepada kejayaan The Reds di padang sepanjang lima tahun lalu, malah impak peribadi yang ditinggalkan kepada rakan sepasukan, kakitangan dan penyokong kelab berkenaan.

Iklan

Jota yang menyertai Liverpool dari Wolves pada tahun 2020 telah menjaringkan 65 gol dalam 182 penampilan untuk kelab tersebut.

Beliau merupakan sebahagian daripada pasukan yang menjulang trofi Piala FA dan Piala Liga pada tahun 2022, serta memenangi semula Piala Liga pada 2024.

Iklan

Musim lalu, Jota turut menjadi tonggak penting dalam kejayaan Liverpool merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris buat kali ke-20 dalam sejarah kelab.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Bola Sepak Fenway Sports Group (FSG), Michael Edwards menegaskan bahawa mereka sangat memahami sentimen penyokong dan merasakan perkara yang sama sebagai sebuah kelab bola sepak.

“Adalah amat penting bagi kami untuk melibatkan isteri Diogo, Rute, dan keluarganya dalam keputusan ini serta memastikan mereka adalah orang pertama yang mengetahui niat kami.

“Saya percaya ini adalah kali pertama dalam sejarah Liverpool penghormatan sedemikian diberikan kepada individu. Oleh itu, kami boleh katakan ini penghormatan yang unik kepada seorang individu yang luar biasa hebat. Dengan bersara nombor skuad ini, kami menjadikannya abadi dan oleh itu tidak akan dilupakan,” kata Edwards.

Jota dan adiknya terkorban selepas kereta jenis Lamborghini yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas ketika dalam perjalanan pulang ke Liverpool untuk latihan pramusim pada 3 Julai lalu.

Pengebumian kedua-dua beradik itu telah berlangsung di kampung halaman mereka di Gondomar, Portugal, Sabtu lalu.