FILEM bergenre seram sememangnya sentiasa mempunyai tempat dalam kalangan penonton tempatan.
Terbaharu, sebuah lagi karya seram tempatan bertajuk Munajjim: Sekutu Iblis bakal menghantui pawagam seluruh negara bermula 31 Julai ini.
Diterbitkan oleh Yusrych Global Sdn Bhd, filem arahan Faizul A. Rashid itu bukan sekadar mahu menakutkan penonton semata-mata, sebaliknya membawa mesej yang cukup besar berkenaan amalan ilmu hitam dan syirik yang masih berleluasa dalam masyarakat moden.
Penerbitnya, Yusry Makmor berkata, naskhah ini diinspirasikan daripada kisah benar dan menyentuh isu serius yang sering berlaku dalam kehidupan sebenar.
“Ini bukan sekadar filem seram biasa kerana diinspirasikan daripada kisah benar dengan menyentuh tentang realiti masyarakat yang masih bergantung kepada ilmu hitam dan bomoh dalam mencari penyelesaian mudah ketika berhadapan sesuatu masalah.
“Filem ini bukan sekadar mahu membuat penonton hiburan tetapi memberi kesedaran bahawa amalan syirik ini sememangnya memberi impak negatif dan bersekutu dengan iblis yang jelas hukumnya adalah haram,” katanya.
Munajjim: Sekutu Iblis membawa penonton menyelami kisah sebuah keluarga yang terlalu bergantung kepada bomoh dalam setiap urusan hidup mereka.
Tanpa mereka sedar, kebergantungan itu membuka ruang kepada makhluk halus iaitu jelmaan jin dan hantu untuk mendekati dan memesongkan akidah.
Lebih menarik, filem ini turut menampilkan barisan pelakon popular tanah air seperti Farid Kamil, Uqasha Senrose, Che Puan Juliana Evans, Mustaqim Bahadon, Sherrie Merlis serta adik Daniel Aqil.
Penggambaran filem ini telah dijalankan sekitar Januari lalu di beberapa lokasi di Selangor, hasil idea asal Yusry Makmor bersama Zafran Aziz dan Rozita Mat Isa.
Menurut Faizul, filem tersebut menjanjikan pengalaman seram yang berbeza daripada kebiasaan.
“Filem ini menampilkan keseraman yang lebih mendalam dan berunsur realiti serta diadun dengan visual sinematik serta jalan cerita yang kuat dan penuh mesej.
“Kami percaya filem ini bukan sahaja akan memberi pengalaman sinematik yang memuaskan, tetapi mengajak penonton berfikir tentang bahaya dan realiti amalan khurafat dalam kehidupan yang masih berlaku sehingga sekarang,” jelasnya.
Filem ini turut mendapat kerjasama syarikat TGV dan akan diedarkan ke peringkat antarabangsa oleh D’Ayu Pictures dengan sokongan promosi Empire Solutions.