Akta buli berkuat kuasa hari ini, hukuman lebih berat menanti pesalah

Iklan
Jabatan Perdana Menteri. Gambar fail

SHAH ALAM - Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 yang mula berkuat kuasa secara rasmi pada Jumaat merupakan satu lagi pencapaian penting kerajaan dalam usaha memperkukuh sistem perundangan negara agar selari dengan cabaran jenayah moden.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, kedua-dua pindaan yang diluluskan di Parlimen pada Disember tahun lalu memberi fokus khusus terhadap kesalahan buli.

Iklan
Iklan

Jelas kenyataan itu, kesalahan buli berkenaan termasuk buli fizikal dan buli siber bagi melindungi golongan rentan seperti kanak-kanak, remaja serta individu yang mengalami tekanan akibat gangguan emosi.

"Dalam konteks ini, pindaan memperkenalkan seksyen-seksyen baharu seperti Seksyen 507B hingga 507G yang secara spesifik memperuntukkan hukuman yang setimpal bagi kesalahan berkaitan komunikasi mengancam, menghina atau mencela yang bertujuan menyebabkan gangguan emosi atau ketakutan kepada mangsa.

Iklan

"Tambahan lagi, pindaan ini turut merangkumi kesalahan berkaitan penyebaran maklumat peribadi tanpa izin atau doxing yang kini diklasifikasikan sebagai jenayah serius dan boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun," menurut kenyataan itu pada Jumaat.

BHEUU Jabatan Perdana Menteri turut memaklumkan, pengenalan peruntukan khusus ini adalah hasil penelitian terhadap kelemahan dalam undang-undang sedia ada yang didapati tidak mencukupi untuk menangani pelbagai bentuk ancaman psikologi dan emosi, terutamanya dalam persekitaran digital yang semakin mencabar.

Iklan

Menurutnya lagi, pelaksanaan kedua-dua akta ini turut bertujuan memperkemaskan prosedur perundangan, meningkatkan kecekapan proses keadilan jenayah dan memberi ruang kepada tindakan yang lebih pantas serta tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang.

"Kerajaan juga akan terus memastikan bahawa penguatkuasaan undang-undang ini dilakukan secara adil dan saksama, tanpa menjejaskan hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan," katanya.

Jelas kenyataan itu, Kerajaan Madani juga terus komited untuk memastikan undang-undang negara kekal relevan dan responsif terhadap cabaran dunia digital semasa demi keselamatan, kesejahteraan serta keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia.