SUBANG JAYA – Helah sekumpulan warga asing yang menjalankan aktiviti prebet sapu di sekitar pusat beli-belah di sini terbongkar apabila mereka dicekup dalam operasi khas oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor baru-baru ini.
Dalam operasi tersebut, empat lelaki warga asing yang terdiri daripada dua warga Syria, seorang Yaman dan seorang Sudan ditahan kerana disyaki menjalankan perkhidmatan pengangkutan haram tanpa sebarang kebenaran sah.
Kesemua mereka yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun mendakwa hanya membawa rakan atau saudara ketika ditahan dalam operasi yang dijalankan 6 Julai lalu itu.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, operasi yang dijalankan hasil aduan orang awam itu turut membawa kepada penyitaan empat buah kenderaan yang digunakan suspek iaitu Toyota Alphard, Hyundai Starex, Perodua Aruz dan Perodua Alza.
"Modus operandi mereka adalah menggunakan kenalan senegara untuk mendapatkan pelanggan warga Arab yang datang melancong dan menginap di kawasan sekitar pusat beli-belah.
"Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak lapan kesalahan telah dikesan antaranya tiada lesen memandu kompeten (CDL) dan penyalahgunaan Lesen Kenderaan Motor (LKM)," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, lokasi terbabit menjadi tumpuan kerana sering dikunjungi oleh pelancong dari negara Timur Tengah.
"Aduan yang diterima daripada orang awam memaklumkan mengenai kehadiran beberapa kenderaan yang dipercayai menawarkan perkhidmatan prebet sapu di kawasan berkenaan.
"Siasatan juga mendapati kadar tambang yang dikenakan lebih tinggi daripada perkhidmatan sah seperti teksi atau e-hailing, namun penumpang tidak kisah kerana mereka mampu membayarnya," katanya.
Menurutnya, antara faktor yang menyebabkan pelancong mudah terpedaya dengan perkhidmatan prebet sapu ialah kerana mereka berasa lebih selesa menggunakan khidmat pemandu warga Arab.
"Selain mudah berkomunikasi dalam bahasa yang sama, ada juga tempahan yang dibuat dari negara asal mereka sebelum tiba ke Malaysia.
"Keadaan ini sekali gus memudahkan kegiatan prebet sapu beroperasi secara tidak sah dan mengelirukan pihak berkuasa serta pengguna jalan raya lain," katanya.
Azrin berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu termasuk warga asing yang didapati menyalahgunakan lesen atau menjalankan aktiviti pengangkutan awam tanpa kebenaran.
"JPJ Selangor sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan berterusan ke atas semua aduan yang diterima bagi memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi.
"Sebarang maklumat berkaitan aktiviti prebet sapu boleh disalurkan melalui e-mel aduantrafik@jpj.gov.my atau aplikasi e-Aduan JPJ berserta maklumat pengadu dan butiran kejadian untuk tindakan lanjut," katanya.