PEMAIN Denmark, Christian Norgaard memperkuatkan bahagian tengah Arsenal apabila menyahut cabaran gergasi London itu menerusi perpindahan bernilai £15 juta pound dari Brentford.
Pemain berusia 31 tahun itu menandatangani kontrak selama dua tahun bersama The Gunners dengan pilihan lanjutan setahun, menerusi bayaran awal sebanyak £10 juta pound dan tambahan £5 juta pound bergantung kepada prestasi.
Norgaard, yang menyertai Brentford dari Fiorentina pada 2019, membuat 196 penampilan bersama The Bees dan menjadi tonggak utama pasukan termasuk menyandang tugas kapten.
Perpindahan ke Emirates ini menjadikan beliau rekrut ketiga Arsenal pada jendela perpindahan musim panas selepas ketibaan dua pemain dari Sepanyol — Martin Zubimendi dari Real Sociedad dengan nilai hampir £60 juta pound serta penjaga gol Kepa Arrizabalaga dari Chelsea pada harga £5 juta pound.
Sementara itu, Norgaard meluahkan rasa terharu apabila impiannya untuk beraksi di pentas Liga Juara-Juara Eropah akhirnya menjadi kenyataan.
“Saya hampir menangis. Saya baru sahaja menyambung kontrak baharu bersama Brentford dan pada usia 31 tahun, impian untuk bermain dalam Liga Juara-Juara bersama Brentford agak mustahil.
“Kini saya akan mendengar lagu tema kejohanan itu dan menjadi sebahagian daripada kempen sebenar. Ia adalah impian zaman kanak-kanak dan saya benar-benar gembira,” katanya.
Sepanjang bersama Brentford, Norgaard membantu Bees menamatkan penantian panjang apabila meraih promosi ke Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 2021, sebelum membuat 122 penampilan di liga utama tersebut.
Sementara itu, pengendali Arsenal, Mikel Arteta menyifatkan kehadiran Norgaard sebagai satu tambahan penting kepada skuadnya dari segi pengalaman, ketahanan fizikal serta kepimpinan.
“Beliau memiliki kepintaran taktikal yang tinggi, versatil serta kehadiran fizikal yang kuat di bahagian tengah padang.
"Selain itu, karekter dan jiwa kepimpinannya sangat penting untuk mengimbangi pasukan,” kata Arteta.
Musim lalu, Norgaard menikmati musim terbaik dalam kariernya dengan enam jaringan dalam semua kejohanan.
Beliau juga mencatatkan statistik cemerlang sejak penampilan sulung di EPL pada 2021, termasuk 201 pintasan tertinggi dalam liga serta berada di tempat kedua untuk jumlah ‘recoveries’ (844) dan ketiga dalam jumlah terjahan yang berjaya (189).
Difahamkan, Norgaard sebelum ini turut dikaitkan dengan perpindahan ke jiran tetangga Arsenal, Tottenham Hotspur untuk bergandingan semula bersama bekas pengendalinya, Thomas Frank.
Sementara itu, Arsenal kini sedang dalam rundingan bagi mendapatkan penyerang kelab Portugal, Sporting Lisbon, Viktor Gyokeres dengan nilai sekitar £70 juta pound serta telah membuat pendekatan rasmi untuk mendapatkan khidmat pemain sayap Chelsea, Noni Madueke.