PUTRAJAYA - Malaysia akan melaksanakan kajian perbandingan awal mengenai pendekatan sistem pelantikan kehakiman di beberapa negara terpilih iaitu United Kingdom, India, Australia dan Singapura.
Ia susulan kebimbangan awam mengenai perkembangan terkini mengenai isu pelantikan kehakiman dan menekankan kepentingan penelitian yang lebih mendalam bagi memastikan proses tersebut lebih telus serta diyakini.
Menerusi kenyataan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) memaklumkan perkara itu dicapai menerusi perbincangan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bersama-sama Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang-Undang Dewan Negara, Rita Sarimah anak Patrick Insol serta Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi Dewan Rakyat, William Leong Jee Keen pada Khamis.
Menurutnya, kajian perbandingan awal itu akan memberi kefahaman holistik tentang proses pelantikan kehakiman di negara-negara dengan sistem yang serupa bagi membolehkan Malaysia menilai secara berasaskan keterangan keperluan reformasi dan menyesuaikan amalan terbaik mengikut konteks negara.
"Kajian ini juga bertujuan untuk menilai model pelantikan kehakiman yang berkesan, mengenal pasti amalan terbaik dan mengesyorkan pembaharuan yang sesuai bagi konteks Malaysia sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan," kata BHEUU.
Ujar bahagian itu, pihaknya mengalu-alukan pandangan dan maklum balas orang awam mengenai perkara tersebut.
"Pendekatan inklusif ini penting bagi memastikan setiap perspektif diambil kira sebelum hasil kajian dibentangkan bagi pertimbangan Jemaah Menteri," katanya lagi.