'Saya tak mudah kecewa, terus cuba walau gagal berkali-kali' - Tun M

Iklan
Siaran langsung Podcast Dr M sempena ulangtahun kelahiran ke 100 Tun Mahathir di laman sosial rasminya pada Khamis.

SHAH ALAM – “Saya tak mudah kecewa. Walaupun gagal berkali-kali, saya tetap cuba juga.”

Demikian antara prinsip hidup yang dipegang bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sentiasa menanamkan semangat untuk berusaha gigih dalam apa jua perkara yang dilakukan sejak muda.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, semangat untuk menjadi yang terbaik sudah tertanam sejak di bangku sekolah di mana beliau sentiasa bersaing rapat dengan seorang rakannya yang juga berbangsa Cina untuk meraih tempat pertama dalam peperiksaan.

“Bila saya belajar perubatan, saya ketinggalan. Kelulusan saya lebih rendah berbanding pelajar lain. Jadi saya kena kejar mereka dan untuk itu saya kena serius belajar,” katanya dalam siaran langsung Podcast Dr M sempena ulang tahun kelahiran ke 100 di laman sosial rasminya pada Khamis.

Iklan

Tambahnya, kesungguhan untuk mengejar ilmu menjadikan beliau berdisiplin dalam membaca buku berulang kali sehingga memahami kandungan secara mendalam, bukan sekadar menghafal.

“Bila kita baca banyak kali, kita nampak muka surat, gambar... semua itu dalam fikiran. Bila jawab soalan, kita nampak balik macam kita nampak muka kawan-kawan,” jelasnya.

Iklan

Tun Mahathir juga berkongsi bahawa prinsip ‘buat sesuatu banyak kali untuk jadi cekap’ turut dipraktikkan dalam kehidupan hariannya.

“Saya ukir kayu. Mula-mula memang hodoh. Tapi bila ulang-ulang, ia jadi cantik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati anak muda agar tidak berputus asa dalam pelajaran, sebaliknya terus berusaha dan mengulang kaji jika ketinggalan.

“Kalau kita ketinggalan, usaha lebih. Kena baca buku banyak kali. Itu yang saya buat,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kepimpinan dan nilai contoh, Tun Mahathir berkata, sebagai pemimpin beliau percaya penting untuk menunjukkan teladan yang baik kepada orang ramai.

“Saya nak jadikan diri saya sebagai contoh. Kalau saya suruh orang kerja kuat, saya sendiri kena kerja kuat. Kalau saya suruh orang naik kuda, saya pun kena naik kuda,” katanya.

Beliau turut mengimbau bagaimana inisiatif seperti Tour de Langkawi yang diperkenalkan satu masa dahulu telah berjaya mengubah gaya hidup rakyat.

“Dulu tak ramai budak muda kayuh basikal. Tapi sekarang, hari-hari mereka kayuh. Kadang-kadang sampai beratus batu,” ujarnya.

Tun Mahathir menegaskan, menjadi model atau contoh teladan adalah antara cara berkesan untuk memajukan sesuatu perkara dalam masyarakat.