Mangsa tidak selamatkan diri walaupun jeriji tingkap dibuka

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang mangsa yang terselamat dalam kebakaran tragis pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah tahun lalu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa ada beberapa mangsa yang maut tidak turun menyelamatkan diri melalui tingkap asrama walaupun jeriji besi pada tingkap telah dibuka.

Bekas pelajar, Muhammad Amru Daniel Al-Haz Ali, 17, berkata beberapa mangsa itu terlebih dahulu pergi berhampiran tingkap dan menjerit meminta pertolongan namun sebaik jeriji tingkap dibuka olehnya mangsa tersebut tidak turun menyelamatkan diri.

Iklan
Iklan

"Mereka yang pergi dekat jeriji tingkap tu panggil orang minta tolong dan saya dapat idea nak tarik jeriji tu,” katanya ketika ditanya Hakim Azman Abdullah pada prosiding perbicaraan kes itu hari ini.

Kepada soalan Azman siapakah yang berada berhampiran saksi itu namun tidak turun melalui tingkap dan telah meninggal dunia, saksi pendakwaan ke-26 tersebut berkata dia hanya mengingati dua nama iaitu Muhammad Aiman Ramzanudin, 12, dan Mohamad Daniel Md Amin, 14.

Iklan

Pada prosiding perbicaraan semalam, saksi itu berkata dia berjaya menyelamatkan diri dengan keluar melalui tingkap asrama dan menggelongsor pada paip di luar tingkap selepas berjaya menarik jeriji besi tingkap sehingga tercabut.

Terdahulu, menjawab soalan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Othman Abdullah semasa pemeriksaan semula sama ada Muhammad Amru Daniel Al-Haz memanggil kesemua rakan-rakannya yang berada di dalam bilik itu dan memberitahu ada laluan keluar selepas membuka jeriji berkenaan, saksi itu menjawab:"Tidak."

Iklan

Muhammad Amru Daniel Al-Haz menjelaskan dia hanya memanggil rakan-rakan yang berada berhampirannya sahaja selain penglihatannya di dalam bilik asrama itu juga terhad disebabkan asap yang semakin menebal.

Pada prosiding sama, Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Putrajaya Edwin Galan Teruki berkata beliau ketika itu bertugas sebagai penolong ketua pengarah bahagian sama dan mengetuai pasukan siasatan kejadian.

Katanya hasil pemeriksaan di depan pintu masuk asrama mendapati terdapat beberapa corak kebakaran dengan keamatan haba yang tinggi, menunjukkan kemungkinan kebakaran bermula di kawasan hadapan pintu tersebut.

Kepada soalan Othman mengenai hasil analisis siasatannya, Edwin berkata pihaknya mendapati punca kebakaran ialah sengaja dibakar.

Dua remaja lelaki yang ketika itu berumur 16 tahun didakwa secara bersama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz yang beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat di sini antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 September 2017.

Masing-masing menghadapi 23 pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan mengikut Seksyen 94 akta sama juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.

Perbicaraan bersambung Isnin. –Bernama