NIBONG TEBAL - Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menerima sebanyak 27 aduan berkaitan pelanggaran hak pekerja melibatkan syarikat bas sejak awal tahun 2024 hingga Jun lalu.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, sebanyak lapan aduan diterima pada tahun lalu, manakala 19 lagi aduan direkodkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Menurutnya, aduan yang diterima merangkumi isu kegagalan membayar gaji, tiada bayaran kerja lebih masa, faedah penamatan kerja serta pelanggaran terhadap peruntukan undang-undang seperti Akta Kerja 1955 dan Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak.
“Gaji minimum ini bukan saranan, bukan cadangan, tetapi adalah satu kadar yang telah diperuntukkan oleh undang-undang.
“Saya menyeru kepada semua majikan agar mematuhi undang-undang gaji minimum kerana ini merupakan peruntukan undang-undang yang wajib dipatuhi,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas dakwaan segelintir pemandu bas ekspres yang tidak menerima gaji minimum RM1,700 walaupun perintah tersebut telah dikuatkuasakan kerajaan.
Beliau ditemui selepas merasmikan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan MYFutureJobs di Kompleks Penjara Seberang Perai, di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Steven turut mendedahkan bahawa syarikat Penawar Express Line Bhd merupakan satu-satunya syarikat bas yang telah dikenakan tindakan pendakwaan pada tahun lalu.
Syarikat berkenaan didakwa sebanyak dua kali di bawah Seksyen 43 kerana gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum.
“Ini menunjukkan bahawa kementerian tidak akan berkompromi terhadap majikan yang melanggar hak pekerja.
“Kami serius dalam memastikan perlindungan sewajarnya diberikan kepada semua pekerja, tanpa mengira sektor,” tegasnya.
Tambahnya, Jabatan Tenaga Kerja sentiasa menjalankan tinjauan dan pemeriksaan bagi memastikan pelaksanaan gaji minimum dikuatkuasakan secara menyeluruh di semua sektor pekerjaan.